Baru-baru ini, tular di laman sosial mengenai sebuah video yang membuatkan penonton berasa sebak melihatnya kerana ia merupakan sebuah video kenangan sebuah keluarga yang bersedih apabila anak angkat yang dianggap seperti anak kandung diambil semula oleh keluarga kandungnya.

“Kami sekeluarga redha dengan ketentuan ini kerana tahu satu hari nanti pasti akan berpisah dengan adik,” luah Tuhfah Nazihah Md Tarmidi, 25 tahun.

“Cuma, emak saya yang paling sedih kerana terlalu sayangkan adik memandangkan sudah menjaganya sejak kecil lagi,” katanya.

Difahamkan, adik angkatnya, Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 6 tahun, atau lebih mesra dipanggil Amir diserahkan semula kepada keluarga kandungnya.

Menurut video yang dikongsikan Nazihah di laman sosial Facebook, ibunya, Norlida Hassan, 47 tahun, dan adik-beradiknya yang lain menangis sambil memeluk Amir ketika perpisahan itu.

Mereka dilihat menyampaikan pesanan terakhir kepada Amir sambil mencium pipinya.

“Pada malam itu, ibu kandung adik (Amir) datang ke rumah emak saya di Rawang ditemani suaminya untuk mengambil semula Amir,” ujarnya.

“Mereka datang dengan mengejut dan itu yang membuatkan kami sekeluarga tidak bersedia kerana mengikut persetujuan sebelum ini, ibu kandung adik mahu mengambil adik apabila usianya 10 tahun,” jelasnya.

“Namun, kami tidak dapat berbuat-apa kerana menghormati permintaan ibu kandung adik dan melepaskannya pergi walaupun dengan berat hati,” sambungnya lagi.

“Lagipun, niat asal kami hanya membantu menjaganya dan tidak pernah terlintas memisahkannya dengan keluarga kandung,” tambahnya.

“Adik seorang yang ceria, petah berkata-kata dan cukup rapat dengan emak selain adik ketiga saya (Tuhfah Nazira),” katanya.

“Jadi, pemergian adik memang memberi kesan terutama buat emak kerana kehadirannya selama ini menjadi penyeri serta penyejuk hati kami sekeluarga,” jelasnya bahawa ibunya masih bersedih kerana sudah lama menjaga Amir malah menyayanginya seperti anak kandung sendiri.

“Tidak lama selepas tamat berpantang, ibu kandung adik yang juga rakan saya meminta bantuan untuk menjaga adik. Kebetulan, emak memang sukakan budak jadi dia tidak keberatan untuk menjaga adik,” tambahnya Amir dijaga sejak dia berusia dua bulan.

“Emak sudah terangkan pada adik mengenai statusnya dan dia faham malah ia sedikitpun tidak membuatkannya berasa tersisih,” ujarnya.

“Cuma, kami sangka dapat menjaganya lebih lama, sekurang-kurangnya sehingga dapat mengajarnya mengaji dan solat dengan betul tetapi hasrat itu tidak kesampaian,” jelasnya.

Walau bagaimanapun, Nazihah yakin Amir akan dijaga dengan baik dengan keluarga kandungnya.

“Adik kenal ibunya kerana kami sekeluarga pernah mempertemukan mereka beberapa kali sebelum ini terutama ketika Aidilfitri. Cuma, mungkin adik perlu membiasakan diri tinggal di rumah baru,” sambungnya lagi.

Sumber: FB Tuhfah Nazihah, Harian Metro