Penyanyi cantik manis, Amira Othman atau nama penuhnya Nadia Amira Othman, 26 tahun, menganggap peluang menunaikan haji pada tahun ini merupakan satu keajaiban dan rezeki yang memang tidak disangka-sangka.

Menurutnya, dia rasa seperti bermimpi apabila dijemput oleh Wany Hasrita untuk menunaikan haji pada Ahad lalu. Difahamkan, Amira dan Wany menunaikan haji melalui jemputan Kerajaan Arab Saudi.

“Ahad lalu Wany menghubungi saya dan mempelawa untuk buat haji bersama. Saya terkejut kerana anggap dia bergurau. Tapi, tidak. Kemudian, saya terus menghubungi mak dan ayah memaklumkan perkara ini. Mereka menyokong jika betul saya ingin pergi. Selepas memberi jawapan, sebelah malam saya buat solat istikharah untuk minta petunjuk,” ujarnya.

“Saya mahu betulkan niat untuk ke sana dan pergi bukan dengan bekalan yang kosong. Alhamdulillah, bangun pagi saya berasa lebih yakin dengan keputusan dibuat,” katanya.

“Sejujurnya, sampai sekarang saya masih terkejut dan macam tak percaya dah nak buat haji. Apatah lagi, beberapa hari ini kita dengar ramai yang tak lepas sebab visa tak lulus,” jelasnya.

“Lagi satu, saya fikir haji bukan perkara mudah. Nak ke sana kena perlukan persediaan yang cukup dari segi mental, fizikal dan rohani. Namun, apabila sudah sampai tahap ini, saya sedar satu perkara iaitu apa kita nak tak sama dengan apa Allah sudah atur,” sambungnya yang telah berlepas menunaikan haji petang semalam.

Sumber: Harian Metro