Baru-baru ini, penyanyi XPDC, Ali, 52 tahun, dilantik sebagai duta Madrasah UlumulQuran Wal Ahadith (Al-Muqwa) di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor.

Difahamkan, peranan Ali adalah mencari dana bagi membantu pembangunan madrasah yang beroperasi sejak Julai 2011 itu.

Menurutnya, dia berasa terharu dengan pelantikan tersebut dan mengakui menggalas satu tanggungjawab yang berat.

“Ini adalah saham akhirat saya dan rasanya semua orang ada impian berbuat demikian. Ia adalah ketentuan Allah. Tempatnya pula di kampung saya sendiri, jadi saya mahu menabur bakti bersama penduduk di sini membangunkan Islam berteraskan al-Quran dan Sunnah. Justeru saya kena pastikan sentiasa jaga keterampilan agar tidak mencemarkan nama Al- Muqwa. Juga kena selalu berhati-hati dan tak boleh huru-hara,” ujarnya.

Selain itu, pentadbir Al-Muqwa memerlukan wang bagi menampung kos operasi keseluruhan berjumlah RM86,000 sebulan.

Mereka yang menyewa tanah pihak lain turut berhajat untuk memiliki tanah dan bangunan.

Sebelum ini, Ali pernah melecur akibat kebakaran dialami pada Mac lalu sedang beransur pulih sedang memikirkan cara yang sesuai untuk membantu madrasah berkenaan.

“Segala-galanya masih dalam perancangan. Sasaran itu memang ada, namun kita mampu merancang tapi perancangan yang terbaik datangnya daripada Allah SWT. Sebagai duta saya akan terima gaji seperti seorang amil. Ada kerja adalah gaji. Bahagian saya tetap ada. Tapi saya bukan kejar yang itu. Saya nak bantu madrasah ini kerana dulu saya tinggal di luar iaitu Kuala Lumpur dan kurang arif mengenai Al-Muqwa,” jelasnya.

“Apabila berpindah balik kampung, baharu saya tahu kewujudannya. Pernah satu ketika dulu, bekalan makanan di sini terputus. Pelajar-pelajar terpaksa makan nasi yang sudah basi. Ia memilukan dan kisah ini pernah tular dulu,” katanya.

Walau bagaimanapun, dia bersyukur kerana makanan di situ tidak putus-putus kesan daripada kisah tular itu.

“Cuma yang nak dicari ialah keperluan pembayaran gaji tenaga pengajar serta kos-kos lain. Insya-Allah saya merancang untuk menyumbang sedikit wang dari persembahan XPDC untuk madrasah ini. Saya akan bincangkan perkara ini dengan anggota lain. Ia perkara baik dan saham akhirat. Bila lagi kita nak buat kebaikan,” tambahnya lagi.

Bagi perkembangan terbaru kumpulan XPDC, mereka dijangka akan beraksi di Warisan Hall Studio, Sijangkang, Selangor, pada hujung tahun ini.

“Alhamdulillah kami dijemput beraksi oleh pemilik tempat ini sendiri dan bukan meniru mana-mana pihak. Kami dapat kerjasama dengan beberapa penaja yang agak kuat dan TM untuk ‘live streaming’. Persembahan dijadualkan untuk dua malam. Tiket untuk menonton juga dijual tapi bilangannya amat terhad kerana perlu ikut prosedur operasi standard (SOP),” sambungnya.

Sumber: Harian Metro