Penyanyi kumpulan XPDC Hijrah, Ali atau nama sebenarnya Mohd Ali Ismail, 51 tahun, mahu mengambil kesempatan untuk berdakwah di lokasi yang disinggahi kumpulannya setiap kali mengadakan persembahan.

Kumpulan tersebut yang juga dianggotai oleh Izo (gitar), Eddie (bass) dan Lola (dram) berkunjung ke Sabah untuk sesi bertemu peminat di A Square Container Market, Kota Kinabalu anjuran penerbit album terbaru mereka, Blockchain Island, baru-baru ini.

Malah, kelmarin Ali menyampaikan tazkirah khas bertajuk Indahnya Hijrah sempena Maal Hijrah di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu selepas solat Maghrib.

Menurutnya, keputusan untuk berdakwah itu bergantung kepada masjid yang memberikan peluang buatnya.

“Sekiranya mereka beri peluang, saya akan melakukan perkongsian pengalaman sekadar termampu. Untuk di Sabah, saya mempunyai hubungan baik dengan ustaz dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) yang memberikan tauliah khas,” ujarnya.

“Mereka akan isi borang kebenaran buat saya. Alhamdulillah, setakat ini perkongsian saya berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” jelasnya.

“Selain itu, saya juga berkongsi kerja dakwah di Syria, pedalaman Sabah dan negara Eropah selama sebulan beberapa tahun lalu. Biasanya perkongsian pengalaman saya memakan masa lebih satu jam dan jemaah sanggup menanti,” katanya.

“Seperti di Seksyen 27, Puchong baru-baru ini, jemaah kata tak puas mendengar kisah saya walaupun lama juga bercakap,” tambahnya.

Difahamkan, perkongsian pengalamannya itu tidak terhad di masjid sahaja kerana dia turut dijemput oleh pihak swasta dan kerajaan untuk memberikan tazkirah.

“Banyak pihak termasuk bank yang undang saya untuk berikan tazkirah pada sebelah tengah hari. Saya tiada masalah nak penuhi jemputan mereka,” ujarnya.

“Saya juga bukan nak tunjuk pandai, tapi hanya nak berkongsi apa yang bermanfaat kepada masyarakat. Saya bukan datang sebagai seorang ustaz yang nak tunjuk ilmu. Ia sekadar perkongsian dan mudah-mudahan Allah terima apa yang disampaikan,” sambungnya.

Selain itu, Ali memberitahu tidak pernah meletakkan harga tertentu dan menyerahkan kepada pertimbangan penganjur untuk memberikan harga yang sesuai.

“Saya sekarang hijrah dan tawaran persembahan pun bukan lagi macam dulu. Sumber dari sini boleh dijadikan belanja untuk keluarga dan besarkan lima anak,” jelasnya lagi.

Sumber: Harian Metro