Hari ini, balu Allahyarham Abam Bocey, Siti Norhidayah Mohd Ali atau lebih dikenali sebagai Hidayah, 28 tahun, berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, mengenai tuntutan faraid yang difailkan pada 15 Julai lalu.

Menurutnya, mahkamah menetapkan pembahagian berdasarkan hukum syarak membabitkan rumah, kereta, wang ringgit, barang peribadi seperti jam tangan, kasut, telefon bimbit, kamera dan barangan lain peninggalan Allahyarham.

“Alhamdulillah, selesai urusan faraid. Pihak sana pun akan dapat bahagian mengikut hukum syarak. Saya berpuas hati dengan keputusan mahkamah. Selepas ini doakan saja yang terbaik buat saya dan anak,” ujarnya.

“Walaupun pihak sana tak hadir, tapi tidak mengganggu proses mahkamah sebab bahagian sudah dibahagikan. Apa saja yang ditinggalkan arwah seperti rumah, kereta, semua wang, jam tangan, kasut, kamera, telefon bimbit dan barang lain difaraidkan,” jelasnya.

“Keputusan untuk berpindah ke rumah itu pun, tak tahu lagi. Tunggu urusan faraid ini diselesaikan. Nak dapatkan kereta semula pun, insya Allah,” katanya yang turut enggan mendedahkan jumlah wang peninggalan allahyarham suami.

“Kereta kena tarik tak benar. Kereta masih ada, tapi saya tak nak komen lebih lanjut. Nanti akan tahu juga,” tambahnya.

“Apa saya boleh katakan, RM10,000 memang saya ambil, tapi saya masukkan dalam akaun bank anak. Tak guna satu sen pun,” sambungnya lagi mengenai dakwaan adik iparnya yang juga merupakan seorang pelawak, Ali Puteh, tentang wang dikeluarkan dari akaun allahyarham suaminya.

Selain itu, pihak mahkamah menetapkan tarikh baru pada Oktober depan mengenai tuntuhan hadanah berikutan pihak ibu mentuanya, Sabariah Arshad, tidak hadir ke mahkamah.

“Saya harap selepas ini pihak sana akan hadir untuk kes hadanah,” ujarnya.

Allahyarham Abam atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, meninggal dunia pada 10 Februari awal tahun ini selepas dua hari mengalami demam.

Allahyarham meninggalkan seorang cahaya mata lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey, yang kini telah berusia setahun tiga bulan.

Sumber: Harian Metro