Biasanya baju Melayu dijahit dengan tiga poket di bahagian depan, namun berbeza dengan baju Melayu milik Hamzah Alek, 36 tahun, kerana dua daripada tiga poket bajunya itu terletak di bahagian belakang.

Malah, kisah Hamzah tular di laman sosial selepas berkongsi gambar dirinya memakai baju berkenaan di akaun Facebook miliknya, pagi kelmarin.

Menurutnya yang menetap di Kampung Belunge, Lundu, Sarawak, baju Melayu itu dijahit ibunya, Saliah Koden, 57 tahun. Dia turut terkejut melihat baju Melayu itu selepas diserahkan ibunya.

“Minggu lalu, saya dan isteri ke pusat bandar dan membeli kain di sebuah gedung untuk dibuat baju sempena hari raya nanti. Saya kemudian hantar kain kepada ibu untuk dijahit,” ujarnya.

“Namun, kami sekeluarga tergelak melihat hasil baju yang siap apabila dua poket dijahit di bahagian belakang, bukan hadapan seperti kebiasaannya. Hanya baju saya bermasalah tetapi pakaian anak sempurna,” jelasnya.

Niatnya memuat naik gambar berkenaan di FB sekadar untuk simpanan di laman sosial saja tetapi tidak sangka gambar itu tular dengan pantas dalam tempoh kurang sehari.

“Isteri yang mengambil gambar itu dan saya pula muat naiknya di FB untuk suka-suka saja,” katanya.

“Tak sangka pula, banyak komen yang diterima hingga gambar itu jadi tular apabila warganet berkongsi hantaran saya,” sambungnya.

“Saya tiada niat mengaibkan sesiapa kerana menganggap perkongsian berkenaan sekadar hiburan, lagipun tukang jahit itu adalah ibu saya sendiri,” katanya.

“Menurut ibu, kesilapan itu berlaku kerana terlalu banyak berfikir memandangkan banyak tempahan diterima. Jahitan yang silap itu juga sudah dibaiki dan diharap tiada yang salah faham hingga menyalahkan tukang jahit lain,” tambahnya lagi.

Sumber: Harian Metro