Pelawak dan pengacara, Ajak Shiro atau nama sebenar Mohamad Hanaffi Razak, 33 tahun, memuji sikap rakannya, Johan Raja Lawak, yang sentiasa mendahulukan keluarga dalam kehidupannya.

Menurutnya, dia turut banyak mengambil iktibar tentang gaya hidup Johan yang selalu mendahulukan keluarga sejak dia berkahwin.

“Sejak lama berkawan dengan Johan ni, apa yang saya perasan, lepas kahwin dia ubah terus cara gaya hidup. Sekarang dia banyak habiskan masa bersama keluarga sahaja,” ujarnya.

Tambahnya, dia berasa kagum apabila melihat rezeki Johan tidak pernah putus kerana sering memuliakan isteri dan anak-anaknya.

“Saya pernah nampak orang yang kerap cari rezeki sampai abaikan keluarga, tak pun orang tu kaya macam Johan. Lelaki berjaya itu bukan yang jenis banyak duit tetapi mereka yang ada keluarga. Jadi, baik saya ikut cara Johan yang sentiasa mendahulukan keluarga,” jelasnya.

Sumber: Gempak