Syarikat penerbangan tambang murah popular, AirAsia kini menambah laluan domestik dan baru dilancarkan semalam iaitu dari Johor Bahru ke Ipoh dengan kekerapan 4 kali seminggu.

Penerbangan AirAsia AK6082 dikendalikan oleh Airbus A320 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor pada 7.30 pagi dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), Ipoh, Perak, pada 8.40 pagi semalam.

Penumpang penerbangan itu disambut oleh Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, ahli Lembaga Pengarah AirAsia Group Berhad, Datuk Aziz Bakar.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, pelancaran laluan tersebut adalah sebagai bukti bahawa pihak mereka tidak henti menawarkan lebih banyak laluan domestik.

“Hari ini juga, kami turut melancarkan penerbangan terus dari Johor Bahru ke Alor Setar, juga empat kali seminggu,” tambahnya.

Sementara itu, menurut Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, kerajaan negeri percaya jumlah pengunjung akan meningkat dengan penambahan laluan domestik tersebut.

“Walaupun kami berharap untuk menerima lebih banyak pelancong menerusi perkhidmatan langsung ini, kerajaan negeri mengakui pentingnya untuk menggalakkan pelancong yang datang untuk tinggal lebih lama di sini supaya mereka dapat menikmati pengalaman warisan dan eko-pelancongan,” jelasnya.

Sumber: Harian Metro