Sebelum ini, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, sembilan bulan, yang berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut terpaksa menangguh kepulangan ke tanah air daripada London berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.

IG Nurul Erwani Zaidi

Ibu saudara Ainul, Anis Syakirah Ahmad Razak, 19 tahun, mengesahkan kepulangan bayi kesayangan ramai itu pada minggu ini.

“Ya, Ainul dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7 pagi pada minggu ini. Maaflah kami tidak dapat berkongsi tarikh yang lebih tepat untuk kebaikan dan keselamatan Ainul dan berharap rakyat memahaminya,” jelasnya.

Menurutnya, dia dan keluarga akan berada di Selangor sehari sebelum kepulangan Ainul bersama kedua ibu bapanya.

IG Nurul Erwani Zaidi

“Walaupun hati ini terlalu rindukan Ainul, kami pihak keluarga pun hanya akan melihat Ainul dari jauh untuk kebaikannya,” ujarnya.

“Saya difahamkan, sebaik tiba pukul 7 pagi, Ainul akan terus dibawa ke Hospital Kuala Lumpur(HKL) untuk pemeriksaan,” katanya.

“Kami harap masyarakat dapat mendoakan keselamatannya dan segala-galanya berjalan lancar sehingga Ainul betul-betul sihat,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro