Dul atau nama sebenarnya Abdul Qodir Jaelani, anak Ahmad Dhani, bakal menggantikan bapanya pada Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia di Stadium Malawati Shah Alam, hari ini. Kumpulan Dewa 19 turut mengesahkan bahawa putera bongsu daripada tiga bersaudara itu bakal ditempatkan di posisi pemain keyboard.

“Baladewa Malaysia, inilah Abdul Qodir Jaelani (Dul Jaelani) untuk keyboard,” kata band terkenal Indonesia itu menerusi kenyataan di laman Instagram rasmi konsert @de19wa. Sebelum ini, Dewa 19 dijadualkan untuk mengadakan persembahan mega yang bersama ketiga-tiga vokalis iaitu Ahmad Dhani, Once dan Ari Lasso serta beberapa pemuzik asal kumpulan berkenaan.

Tetapi pada Isnin lalu, peminat dikejutkan dengan keputusan Mahkamah Jakarta Selatan yang menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap Ahmad Dhani. Ahmad Dhani telah didapati bersalah atas tuduhan menyebarkan kata-kata kebencian di laman sosialnya.

Gambar: Tribunnews

Enggan menunggu lama atau membuatkan peminat yang sudah membeli tiket menunggu dan bertanya, Nizra Production selaku penganjur menerusi kenyataan media menegaskan konsert ‘reunion’ itu akan tetap diteruskan bersama Ari Lasso dan Once.

Didalam perkongsian terbaru di Instagram, Dul meluahkan harapan semoga persembahannya berjalan lancar, selain meminta restu bapanya dan peminat Dewa 19 untuk membolehkannya berada di pentas itu nanti.

“Nuwun sewu (minta izin) ya Ayah, @ahmaddhaniofficial permisi… Dan terima kasih juga kepada Dewa 19 yang membenarkan saya menggantikan tempat Ayah saya di Malaysia. Mohon doakan saya ya! Semoga semuanya berjalan lancar. Amin,” tulisnya.

Sumber: Berita Harian