Baru-baru ini, media sosial tempatan kini tular dengan persoalan mengenai status halal premis makanan Ah Cheng Laksa. Ianya berpunca daripada seorang individu yang mendakwa premis makanan tersebut menggunakan ramuan yang tidak halal serta tidak sesuai dikunjungi oleh pelanggan beragama Islam.

Berkenaan isu status halal Ah Cheng Laksa, Bahagian Hab Halal, JAKIM, melalui akaun rasmi Facebook menjelaskan bahawa premis makanan tersebut belum menjadi pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.

“Walau bagaimanapun, central kitchen bagi premis makanan berkenaan yang didaftar atas nama Ah Cheng Laksa Sdn Bhd di lokasi Taman Perindustrian USJ 1, Subang Jaya, Selangor, telah dipersijilkan halal,” tulisnya.

Difahamkan, walaupun pensijilan halal yang diperolehi oleh central kitchen, ia tidak bermakna seluruh rangkaian premis makanan berkenaan telah dipersijilkan halal.

“Bagi permohonan premis makanan berangkai, terdapat syarat-syarat khusus pensijilan halal yang perlu dipenuhi. JAKIM mengalu-alukan usaha murni pihak syarikat untuk memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia untuk seluruh rangkaian premisnya agar kekeliruan status halal dapat diatasi dengan berkesan,” ujarnya.

Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, anda boleh layari Portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Malah, semakan juga boleh dibuat melalui aplikasi telefon pintar Verify Halal.

Sumber: FB Bahagian Hab Halal, JAKIM