Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V telah memperkenan Tommy Thomas dilantik sebagai Peguam Negara baru-baru ini.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan perkara itu mengikut Perkara 145 (1) Perlembagaan Persekutuan atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad,.

“Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV menyeru semua rakyat Malaysia untuk menerima bahawa pelantikan Peguam Negara Malaysia tidak patut menimbulkan konflik ke atas kaum atau agama, kerana semua rakyat Malaysia harus dilayan dengan adil tanpa mengira bangsa dan agama,” titah baginda.

Berikutan itu, baginda turut bertitah bahawa pelantikan tersebut tetap memelihara hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Setelah mengambil kira pandangan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tentang pelantikan (i) Peguam Negara Malaysia, (ii) hak Bumiputera serta (iii) peranan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga memperkenan penamatan perkhidmatan Tan Sri Mohamad Apandi Ali sebagai Peguam Negara oleh kerajaan Malaysia,” titahnya dalam kenyataan bertarikh 4 Jun yang dihantar Istana Negara kepada Bernama awal pagi ini.

Selain itu, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan perasaan dukacita dan bimbang terhadap laporan media tidak tepat dan negatif sejak kebelakangan ini boleh menggugat keamanan dan keharmonian Malaysia.

“Seri Paduka Baginda menitahkan bahawa Baginda mempunyai kewajipan untuk menegakkan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan memelihara hak-hak orang Melayu dan Bumiputera serta melindungi agama Islam,” jelas Wan Ahmad Dahlan.

Sebelum ini, Perdana Menteri mencalonkan Tommy Thomas sebagai calon Peguam Negara bagi menggantikan Mohamad Apandi.

Sumber: mStar