Pada hari Khamis akan datang ini, Malaysia bakal menyaksikan pemilihan Yang di-Pertuan Agong(YDP) kali ke-16.

Proses pemilihan ini adalah kesinambungan kepada sistem kerajaan beraja berasaskan Perlembagaan yang diamalkan di negara ini dengan raja atau sultan yang bergelar Yang di-Pertuan Agong akan bersemayam selama lima tahun.

Kekosongan jawatan Ketua Utama Negara itu adalah berikutan peletakan jawatan Sultan Muhammad V menurut Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan pada 6 Januari lepas, sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah institusi beraja di negara ini.

Semasa pemilihan, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja akan membekalkan satu kertas undi pada setiap Raja dan setiap Raja diminta menandakan pendapatnya sama ada Raja yang paling kanan (satu nama sahaja) adalah sesuai atau tidak sesuai dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong.

thestar.com.my

Calon mestilah mendapat majoriti lima undi sebelum Raja yang mempengerusikan Mesyuarat Pemilihan menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada baginda.

Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran ataupun raja itu gagal memperolehi undi majoriti maka proses pengundian semula akan dijalankan iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.

Difahamkan, proses hanya akan selesai selepas Baginda menerima tawaran jawatan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas itu, barulah Majlis Raja-raja mengisytiharkan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan memegang jawatan itu bagi tempoh lima tahun.

Sumber: Astro Awani & Bernama