Yang di-Pertuan Agong XVI (ke-16) bakal dipilih pada 24 Januari ini menerusi Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja selepas Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai agong berkuatkuasa dua hari lepas.

Dalam satu kenyataan, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, memberitahu bahawa Mesyuarat Khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong Ke-16 akan diadakan pada 31 Januari ini.

“Menetapkan hari Khamis, 18 Jamadilawal 1440H, bersamaan 24 Januari 2019 untuk mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja bagi tujuan memilih Yang di-Pertuan Agong XVI dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

“Raja-raja juga menetapkan bahawa Mesyuarat Khas bagi acara Mengangkat Sumpah Jawatan oleh Yang di-Pertuan Agong (XVI) dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada Khamis, 31 Januari 2019,” jelasnya.

Tambahnya, ketetapan itu dibuat hasil pertemuan raja-raja pada 10.30 pagi, di Istana Negara semalam berikutan perletakan jawatan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong pada Ahad lepas.

Sumber: Astro Awani