Pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki kini sedang sibuk mengutip sumbangan dana untuk membantu mangsa perang di Syria dan Palestin menjelang musim sejuk ini menerusi Yayasan Afdlin Shauki.

Menurutnya, pihaknya mensasarkan jumlah kutipan kira-kira RM400,000 dan kemudian dia bersama kumpulannya akan ke sempadan Turki serta Syria untuk menyalurkan bantuan berkenaan pada 9 hingga 16 Januari depan.

“Kemungkinan besar, tempoh bantuan akan diteruskan beberapa hari lagi selepas tarikh itu kerana kami akan ke sempadan Jordan dan Syria pula untuk salurkan bantuan seterusnya,” ujarnya sambil menyatakan bantuan paling utama adalah untuk memberikan alat pemanas.

“Mereka kebanyakannya tinggal di dalam khemah. Bayangkan, ada antara mereka adalah warga emas dan juga bayi,” katanya.

“Jadi, kami akan berikan bantuan alat pemanas serta bahan api untuk pastikan mereka dapat teruskan kehidupan dalam musim sejuk. Selain itu, kami akan berikan bantuan selimut serta makanan kerana sumber makanan sangat sukar didapati di zon perang,” jelasnya.

abc.net.au

Selain itu, pihaknya akan membeli barang keperluan di negara itu untuk membantu ekonomi mereka.

“Ada yang nak berikan sumbangan baju sejuk. Namun, saya tak galakkan kerana untuk membawa banyak barang ke sana juga perlukan kos,” sambungnya.

“Jadi, kami akan beli barang yang diperlukan di sana. Secara tak langsung, kita dapat bantu mereka untuk menjana ekonomi,” katanya lagi.

Jika anda mahu memberi sumbangan atau dana, anda boleh salurkan ke akaun Maybank Yayasan Afdlin Shauki bernombor 564810516713.

Sumber: Harian Metro