Adik Ahmad Danial Ahmad Suhairi, 7 tahun, yang menghidap kanser otak tahap empat dan bercita-cita mahu menjadi seorang anggota bomba, dilaporkan telah meninggal dunia hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Persatuan Sokongan Anak-anak Kanser (Pesona), Wan Shahriza Wan Ab Rahman, melalui akaun Facebook miliknya.

“Inalillahiwainailahirojiun. Selamat berpulang, anakanda Danial. Al-Fatihah. Ahmad Danial Ahmad Suhairi pada 2 Februari 2012 – 25 Oktober 2019 akibat kanser otak Diffuse Intrinsic Pontine Glioma (DIPG),” tulisnya.

Sebelum ini, kisah arwah Ahmad Danial yang teruja menjadi anggota bomba pernah tular di media sosial.

Menurut bapanya, Ahmad Suhairi Ali, 33 tahun, keinginan anaknya untuk menjadi anggota bomba disuarakan kepadanya sebelum ini apabila teruja melihat anggota bomba bertugas.

Difahamkan, Ahmad Danial disahkan menghidap kanser otak pada Mac lalu sebelum disahkan lumpuh dua bulan kemudian.

Menurut Suhairi, anak sulung dari tiga beradik itu memerlukan penjagaan rapi termasuk dibantu menguruskan diri dan ditolak menggunakan kerusi roda.

“Kami sedar tanda awal dia diserang kanser otak ketika matanya mula menjadi juling. Kami bawa dia ke hospital sebelum disahkan menghidap penyakit itu,” ujarnya.

“Menurut doktor yang merawatnya, tiada ubat boleh merawat atau memulihkannya lagi, jadi kami redha dan akan buat sehabis baik untuk menggembirakannya,” katanya.

Takziah diucapkan kepada ahli keluarga allahyarham adik Danial. Semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al Fatihah.

Sumber: Sinar Harian