Anak merupakan penyeri dalam hubungan suami isteri dan pelengkap keluarga. Sesiapa yang berkahwin tidak kira baru atau lama pasti menginginkan kehadiran zuriat dalam kehidupan mereka.
Semalam, pelakon Adam Corrie Lee berkongsi khabar berita yang diterima olehnya dan isteri kepada para peminat di laman Instagram iaitu mereka bakal bergelar ibu bapa tidak lama lagi namun tidak memberitahu berapa usia kandungan isterinya.
Menurutnya, Allah sudah memberi tempoh “bulan madu” selama 10 tahun kepada mereka sebelum dikurniakan anugerah terindah itu.
“Alhamdulillah nanti bertambahlah meriah suasana rumah kami dgn kehadiran si comel nanti,” tulisnya dengan nada gembira dan penuh bersyukur.
Selain itu, Adam turut menitip doa untuk anak yang bakal lahir itu agar menjadi seorang yang sihat, sempurna, berakal cerdas dan mengerti dalam urusan agama serta banyak lagi.
Malah, dia juga berdoa agar pasangan suami isteri di luar sana yang sedang berusaha untuk memiliki zuriat akan dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah.
Ramai yang mengucapkan tahniah kepada Adam dan isteri serta mendoakan yang terbaik untuk anak mereka. Tahniah Adam dan isteri!