Beberapa hari lalu, Majlis Fatwa UAE mengumumkan bahawa pesakit Covid19 di negara itu dibenarkan rukhsah tidak berpuasa dalam bulan Ramadan akan datang ini.

Difahamkan, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat virtual majlis itu yang dipengerusikan oleh Sheikh Abdullah Bayyah, turut menekankan agar umat Islam lain yang sihat wajib berpuasa.

Menurut Gulf News, keputusan itu dibuat berdasarkan ayat al-Quran, “Puasa diwajibkan itu ialah beberapa hari tertentu, maka sesiapa di antara kamu yang sakit atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajib dia berpuasa sebanyak (hari dibuka) itu pada hari lain dan wajib atas orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

“Maka sesiapa dengan sukarela memberi (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah jika kamu mengetahuinya.” (al-Baqarah: 184)

Gambar sekadar hiasan

Untuk pengetahuan anda, fatwa yang dikeluarkan berdasarkan bukti daripada hadis sahih yang dipersetujui semua, iaitu orang sakit tidak dibenarkan berpuasa manakala yang sihat dilarang berbuka puasa.

“Keadaan luar biasa yang kita lalui memerlukan kita menekankan nilai kemanusiaan tinggi apabila agama kita juga menuntut mempromosikan nilai kasih sayang, memperkukuh hubungan sesama manusia berdasarkan prinsip perpaduan, kerjasama dan kesatuan,” ujar majlis fatwa berkenaan.

“Untuk itu, kami mengambil kesempatan ini menyeru seluruh dunia dan setiap umat memberi bantuan kepada orang miskin dan memerlukan, membantu meringankan penderitaan dan kesakitan golongan ini tanpa mengira latar belakang agama dan etnik mereka,” tambahnya lagi.

Sumber: Harian Metro