Pemilik syarikat pembersihan berusia 42 sebelum ini dituduh merogol anak sendiri sejak tahun lepas sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di Ampang, atas sembilan tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap anak perempuannya.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nor Hazani Hamzah.

Menurut kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa atas sembilan tuduhan melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 14 tahun di sebuah rumah di sini, antara 3 pagi dan 3.30 petang pada penghujung September 2019 dan 29 Oktober lalu.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa, tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan membantah sebarang permohonan ikat jamin kerana membabitkan kesalahan serius serta sudah dituduh atas 50 pertuduhan.

“Mangsa dalam kes ini hanya berusia 15 tahun dan merupakan anak kandung tertuduh,” ujarnya.

“Dikhuatiri sekiranya jaminan dibenarkan tertuduh akan mengganggu mangsa dan melarikan diri,” jelasnya.

Menurutnya, sekiranya jaminan dibenarkan pendakwaan memohon jumlah tinggi diberikan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan perlu menguruskan syarikat dan kebajikan pekerja serta menjaga tiga kakak dan seorang adik yang menghidap kanser tahap tiga.

“Saya juga mempunyai seorang isteri dan empat anak di bawah jagaan serta bimbang keselamatan mereka dalam keadaan Covid19 ini,” ujar tertuduh.

“Segala tuduhan terhadap saya hanyalah spekulasi semata-mata kerana saya belum didapati bersalah selain mangsa kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarat (JKM),” katanya.

Namun, pihak mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan semula kes dan melantik peguam.

Semalam, tertuduh sudah didakwa di Mahkamah Sesyen sama atas 41 tuduhan merogol, persetubuhan luar tabii dan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang dilakukan setiap bulan secara berterusan sejak Januari tahun ini.

Terdahulu, media melaporkan mangsa melarikan diri dari rumah ke Terminal Bersepadu Selatan(TBS), Cheras sebelum ditahan polis kerana mangsa tiada permit perjalanan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sumber: Harian Metro