Sejak Januari hingga Mei tahun ini, Polis Diraja Malaysia(PDRM) merekodkan sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik(JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias, gusar kerana jumlah berkenaan dicatatkan hanya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Jika dibandingkan dengan tahun lalu, PDRM merekodkan sembilan kes kemalangan maut disebabkan pemandu mabuk dalam tempoh Januari hingga Disember.

“Trend ini agak membimbangkan kalau kita lihat daripada segi angka itu, belum lagi kemalangan disebabkan kecuaian,” ujarnya.

“Semua rakyat pasti masih ingat petugas barisan hadapan iaitu Koperal Safwan Muhammad Ismail terkorban di Lebuhraya Kajang-Seremban(LEKAS) termasuk paling terbaru awal pagi tadi apabila seorang pemandu mabuk melanggar penunggang motosikal dan menyebabkan mangsa mati di lokasi,” jelasnya.

“Diviralkan pula video pemandu mabuk itu mengheret motosikal sejauh dua kilometer. Kita sudah buat ujian (kandungan alkohol) dan bacaannya melebihi apa dibenarkan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sudah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Pengangkutan untuk meminda dan menggubal Akta Pengangkutan Jalan(APJ) terutama bagi kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Difahamkan, seksyen sedia ada menetapkan kadar bacaan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 80mg/100ml masih tinggi berbanding piawaian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang membenarkan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 50mg/100ml.

Dia berharap kerajaan akan mempertimbangkan cadangan pindaan hukuman berkenaan terutama bagi Seksyen 45A dan Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) turut melahirkan kebimbangan terhadap kes pemandu mabuk yang meragut nyawa. Kalau tidak dikawal dengan begitu ketat di masa akan datang ia akan mengorbankan banyak lagi nyawa,” tambahnya.

“Ini tidak memberi ketakutan kepada pemandu mabuk jika undang-undang dan agensi penguatkuasaan tidak dapat mengambil tindakan lebih keras terhadap mereka,” ujarnya.

“Undang-undang sedia ada dilihat tidak setimpal atas kesalahan dilakukan pemandu mabuk sehingga mengorbankan nyawa pengguna jalan raya lain dan tidak memberi pengajaran kepada mereka,” sambungnya lagi.

Sumber: Harian Metro