1. Setiap Jenama Lain Kekenyalan

Mungkin selama ni kita biasa pakai satu jenama saja. Tapi kalau jenama tu tak ada di kedai, kita pun beli yang lain. Kadang-kadang cara yang biasa kita buat tak jadi pula dengan bihun lain.

Sebenarnya kalau perasan, setiap jenama bihun ni tak sama teksturnya. Ada yang kena tebal, nipis, rapuh, dan agak keras. Jadi, kalau nak selamat periksalah pada paket kalau ada arahan untuk memasak.

2. Cara Rendam Bihun Yang Betul

Nak masak bihun ni seeloknya kita rendamkannya sekejap. Ada yang suka rendam dengan air biasa. Selalunya kalau guna air paip, kena rendam awal-awal contohnya 2-3 jam sebelum nak masak. Ada yang nak masak pagi, malam tu dah rendam.

Tapi ada yang suka rendam dengan air panas sebab nak bagi cepat. Kadang-kadang emergency tetamu datang, boleh juga buat macam ni. Dua-dua cara ni tak salah. Tapi ramai yang buat silap bila dah rendam dengan air panas tu dibiarkan begitu saja lepas ditos. Maka, bihun akan mudah jadi lembik bila digoreng.

Kalau nak dapat tekstur yang elok, bila bihun dah agak lembut tu cepat-cepat lalukan bawah air paip supaya proses melembutkan tu berhenti.

3. Test Kekenyalan

Kalau nak tahu bihun yang direndam tadi dah cukup lembut ke belum, boleh buat cara ini. Caranya, keluarkan sikit bihun tu dengan garfu, kemudian cuba putuskan guna jari. Kalau senang diputuskan, maksudnya dah lembutlah tu.

4. Tambah Air Masa Menumis

Kalau dah tak ada masa nak rendam lagi, anda boleh juga lembutkan bihun tu masa memasak. Caranya tambahkan sedikit air supaya bihun tadi jadi lembut.

5. Perasakan Siap-Siap

Sebenarnya lagi senang kita masukkan bahan perasa macam kicap, garam, gula semua sebelum bihun dimasukkan. Barulah rasanya sebati. Selalu kes tergigit garam sebutir-sebutir masa makan sebab masukkan garam last sekali. Yalah, nak mengacau bihun tu kan bukannya senang. Boleh timbul semua otot dan urat!

Tapi kalau takut termasin bubuh awal-awal, boleh bancuh air garam dan curahkan ke dalam kuali bihun goreng tu tadi. Barulah senang nak ratakan dan tak berketul lagi.

6. Kacau Guna Sudip & Garfu

Kalau nak dapat bihun yang panjang-panjang dan lembut, dicadangkan sebelah tangan pakai sudip, sebelah lagi pakai garfu. Baru senang nak kacau dan sebatikan perasa dengan bihun tu. Bihun pun taklah terputus-putus.

7. Pecah Telur

Ada orang suka pecah telur dalam bihun, tapi kadang-kadang telur ni boleh menyebabkan perencah dalam kuali berkumpul dan sukar diratakan. Jadi kalau nak lebih selamat, goreng telur dadar asing-asing. Nanti baru potong kecil dan taburkan dalam bihun yang siap digoreng.

Sumber: Sirap Limau