Melancong adalah perkara paling gembira bagi semua orang kerana boleh berehat sambil menambah pengalaman berada di negara orang.

Bagi orang Islam, faktor makanan halal adalah penting dan kita harus membuat kajian secara mendalam tentang lokasi makanan halal sebelum berangkat ke luar negara. Berikut merupakan beberapa tips untuk anda cari makanan halal semasa travel:

1. Jadikan restoran halal sebagai pilihan utama

Sentiasa jadikan restoran halal sebagai pilihan utama kerana ia merupakan pilihan paling selamat. Kebanyakan cawangan akan memaparkan logo halal dan semestinya mereka menggunakan bahan-bahan halal dijadikan makanan.

2. Bawa snek makanan sendiri

Pastikan anda sentiasa membawa snek makanan sendiri jika tempat dilawati sukar untuk mencari makanan halal. Bawa snek ringan seperti biskut, keropok dan makanan dalam tin untuk dijamah di hotel nanti.

3. Restoran makanan laut/vegetarian

Jika tempat anda lawati sukar untuk mencari restoran halal, anda boleh pergi ke restoran makanan laut atau restoran vegetarian. Walau bagaimanapun, pastikan anda sudah bertanya dengan pihak restoran bahawa mereka tidak menggunakan alkohol atau bahan daripada haiwan lain dalam penyediaan makanan.

4. Restoran dimiliki orang Muslim

Sekiranya anda masih tidak dapat mencari restoran halal, anda boleh memilih untuk makan di restoran yang dimiliki oleh orang Muslim. Secara automatik, makanan di restoran yang dimiliki oleh orang Muslim adalah halal.

5. Tak semua bakeri halal

Anda perlu berhati-hati dalam membeli roti dari bakeri kerana tak semua roti adalah halal jika tiada logo halal. Terdapat banyak cara bahan-bahan tidak halal boleh masuk ke dalam roti.

6. Sentiasa semak logo Halal

Elakkan daripada membeli makanan diproses atau snek yang tiada logo halal melainkan anda tahu untuk membaca jenis-jenis bahan digunakan yang ditulis di pek pembungkusan. Salah satu cara untuk memastikan makanan dijual halal adalah dengan pensijilan bebas serta pemantauan produk-produk ini di pasaran.

7. Makan buah & sayur segar

Selain itu, anda boleh membeli buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan dari pasar tempatan di sekitar tempat tinggal anda kerana ia sudah semestinya halal.

Sumber: Halal Trip