Bercuti di luar negara sememangnya seronok kerana kita dapat belajar budaya luar, bahasa dan sejarah mereka selain makanan yang menarik.

Walau bagaimanapun, agak sukar untuk mencari makanan halal jika anda pergi ke negara-negara yang mempunyai minoriti masyarakat Islam.

Oleh itu, kami kongsikan tips mencari makanan halal di luar negara yang anda boleh guna semasa bercuti dan boleh buat persediaan awal untuk mengelakkan anda kelaparan di negara orang.

1. Logo halal

Pertama sekali, anda boleh cari restoran yang memiliki sijil halal di kedai mereka. Anda boleh buat pencarian awal melalui Google untuk mengetahui lokasi restoran halal. Jika restoran mempamerkan sijil halal, sudah semestinya makanan dan minuman ditawarkan adalah halal.

2. Restoran makanan laut

Jika lokasi percutian anda jauh atau tiada restoran halal, anda boleh makan makanan laut seperti ikan, udang, ketam dan sebagainya. Namun, anda masih perlu berhati-hati agar tiada penggunakan alkohol, wain atau lemak haiwan yang digunakan.

3. Restoran timur tengah

Sudah banyak restoran makanan timur tengah dibuka di negara-negara barat dan ia menyenangkan pelancong beragama Islam untuk makan kerana mereka menyediakan masakan halal. Jika was-was, anda boleh bertanya kepada pengurus restoran sebelum makan.

4. Restoran untuk vegetarian

Selain itu, anda juga mempunyai pilihan lain iaitu dengan makan di restoran yang menyediakan makanan berasaskan sayur-sayuran sahaja.

Tetapi, anda wajib tanya kepada pelayan restoran mengenai bahan-bahan yang mereka gunakan untuk mengelakkan kekeliruan.

5. Bawa makanan segera

Kadang-kadang kita tidak biasa dengan makanan negara luar dan ini membuatkan kita cepat rindu dengan makanan Malaysia seperti nasi lemak, nasi goreng, mee goreng dan sebagainya.

Anda boleh bawa sedikit makanan ringan seperti mee segera, sambal tumis, kekacang, serunding dan sebagainya untuk mengalas perut.

6. Masak sendiri

Jika anda tidak yakin dengan status halal di lokasi yang dilawati, anda boleh memasak makanan sendiri di apartmen yang disewa. Bawa periuk nasi bersaiz kecil atau periuk elektrik serbaguna untuk memudahkan anda memasak makanan. Anda boleh membeli bahan-bahan mentah di pasaraya berdekatan dan pastikan cari label halal sebelum beli.

7. Tahu istilah khinzir dalam bahasa lain

Ini amat penting untuk memastikan anda mengetahui sama ada makanan anda mengandungi bahan terlarang atau tidak.

Banyakkan belajar bahasa atau istilah lain untuk daging khinzir supaya anda boleh membezakan yang mana halal atau tidak.

Sumber: Rojak Daily