Baru-baru ini, pihak Polis Diraja Malaysia(PDRM) memberi peringatan kepada pengguna telefon pintar agar membuang tujuh aplikasi meragukan kerana ia dipercayai boleh mencuri data pengguna.

Berdasarkan hasil maklumat daripada pengkaji sebuah firma keselamatan, Avast, mereka menemukan data meragukan dalam aplikasi tersebut kerana ia dikatakan dicipta untuk mencuri data serta boleh mengintip kegiatan pengguna.

Selain itu, pihak PDRM juga menyatakan Avast sudah menyenaraikan tujuh aplikasi dalam Google PlayStore yang didapati melakukan intipan terhadap pengguna menerusi peranti pintar mereka.

Difahamkan, aplikasi-aplikasi itu mampu menjejak, menghantar data lokasi pengguna serta log panggilan, senarai nombor telefon, mesej teks dan sejarah panggilan yang telah dibuat.

Aplikasi berkenaan adalah Track Employees Check Work Phone Online Spy Free, Spy Kids Tracker, Phone Cell Tracker, Mobile Tracking, Spy Tracker, SMS Tracker dan Employee Work Spy.

Malah, semua aplikasi itu telah pun dibuang oleh Google daripada pangkalan PlayStore mereka namun 130,000 muat turun direkodkan bagi aplikasi terbabit.

Oleh itu, semua pengguna telefon pintar yang menggunakan sistem Android dinasihatkan memeriksa aplikasi yang dimuat turun dan membuang atau uninstall aplikasi dengan segera jika terdapat aplikasi meragukan dalam senarai muat turun.

Sumber: Harian Metro