Walaupun bergelar warga emas, namun semangat penerjun udara lelaki berusia 64 tahun ini tidak perlu dipertikaikan lagi kerana dia masih kekal aktif dalam sukan esktren sehingga ke hari ini.

bekas anggota Grup Gerak Khas (GGK), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jamaluddin Ismail, 64 tahun, masih aktif dalam sukan payung terjun termasuk membuat terjunan Building, Antenna, Span and Earth (BASE).

Malah, Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai Pak Din memegang rekod Malaysia Book of Record (MBOR) bagi kategori penerjun sukan ekstrem terjunan bebas paling tua di Malaysia.

“Minat mendalam terhadap payung terjun mendorong saya menyertai kursus asas komando sebelum diterima berkhidmat bersama GGK. Sebelum itu saya berkhidmat bersama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD),” ujarnya.

Walaupun sudah bersara daripada ATM pada tahun 1985, namun Pak Din masih aktif menjadi penerjun bebas kerana katanya sukan itu sudah sebati dengan jiwanya.

Menurutnya, dia telah melakukan lebih 6,000 kali terjunan dari pesawat dan terjunan BASE sepanjang 38 tahun menceburi sukan ekstrem tersebut.

“Saya makan mengikut piramid pemakanan dan kerap melakukan senaman. Selain itu, saya turut aktif dalam sukan maraton, jogaton dan walkaton bagi menjaga stamina,” jelasnya yang begitu menjaga kesihatan dirinya.

Tambahnya, dia mempunyai impian yang belum terlaksana iaitu mahu melakukan terjunan dari bangunan paling tinggi dunia iaitu Burj Khalifa, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Mengikut perancangan saya sepatutnya melakukan terjunan hujung tahun ini atau tahun depan, tetapi persediaan kearah itu perlahan kerana wang diperlukan belum cukup,” katanya yang memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta untuk kos keperluan termasuk bayaran kemudahan helikopter dan kelengkapan peralatan penerjun.

Semoga impian Pak Din untuk menjadi individu paling tua membuat terjunan dari bangunan UAE menjadi kenyataan pada penghujung tahun ini. Malaysia Boleh!

Sumber: Harian Metro