Tinggal beberapa hari saja kita bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri, masih sempat lagi untuk kita membeli baju raya terutama golongan wanita.

Untuk pengetahuan anda, pemilihan baju kurung yang sesuai amat penting untuk menyerlahkan potongan badan anda tidak kira sama ada baju tempah atau beli.

Berikut merupakan beberapa tips daripada Butik Baju Ezza Ida, yang anda boleh ikut untuk mencari baju kurung sesuai mengikut tubuh badan anda:

1. Potongan duyung

Potongan ini sesuai untuk anda yang mempunyai bentuk tubuh seperti epal, hourglass, lurus dan berbadan chubby. Walau bagaimanapun, potongan baju ini tidak digalakkan untuk mereka yang bertubuh sedikit besar di bahagian bawah.

2. Corak sama baju & kain

Corak ini sesuai untuk semua kecuali mereka yang mempunyai potongan badan lurus kerana anda akan kelihatan lebih kurus dan tegak.

3. Kurung Pahang

Baju kurung jenis Pahang ini sememangnya sesuai dengan mereka yang mempunyai bentuk tubuh hourglass, lurus, chubby dan segi tiga. Malah, mereka yang mempunyai dada bidang kecil dan pinggul besar juga sesuai dengan potongan baju kurung ini.

4. Pesak Gantung

Baju kurung Pesak Gantung terdiri daripada pesak atas dan pesak bawah di mana bahagian tepi terbelah. Difahamkan, baju kurung jenis ini tidak sesuai jika anda bertubuh sedikit besar di bahagian pinggul.

5. Dart baju di depan

Selain itu, potongan baju ini sesuai untuk anda yang mempunyai tubuh seperti hourglass, lurus dan segi tiga tetapi tidak sesuai untuk mereka yang berbadan chubby.

6. Dart baju di belakang

Manakala potongan baju ini lebih sesuai kepada anda yang bertubuh chubby kerana ia akan memberikan sedikit ilusi lebih kecil.

Sumber: Remaja