Menunaikan haji pada usia muda merupakan impian setiap umat Islam terutama di negara ini kerana kita mahu melaksanakan rukun Islam kelima itu semasa sihat dan bertenaga.

Namun, kita sedia maklum bahawa giliran menunggu untuk menunaikan haji agak lama hingga memakan berpuluh-puluh tahun. Seorang lelaki di Facebook berkongsi tips mengerjakan haji pada usia muda:

1. Daftar

Paling penting, daftar terlebih dahulu melalui Tabung Haji. Ada yang menyangka dengan membuka akaun Tabung Haji, bermakna sudah mendaftar untuk menunaikan haji.

Tapi sebenarnya bukan begitu. Untuk membuka akaun TH, hanya perlukan minimum simpanan RM2 sahaja. untuk mendaftar giliran menunaikan haji pula, memerlukan minimum simpanan RM1,300 di dalam akaun Tabung Haji. Selepas itu barulah layak untuk mendaftar bagi memohon giliran menunaikan haji.

Jika sebulan kita simpan RM100, hanya memerlukan setahun sebulan sahaja untuk cukup RM1,300. Kita juga boleh gunakan wang KWSP untuk tujuan ini.

2. Simpanan

Kos sebenar untuk menunaikan haji ialah RM19,550. Kita di Malaysia bertuah kerana lebih separuh ditanggung oleh Tabung Haji (TH). Kita hanya perlu membayar RM9,980 apabila hendak menunaikan haji kelak. Selebihnya ditanggung oleh TH.

Langkah seterusnya adalah memastikan kita mempunyai sekurang-kurangnya RM9,980 di dalam akaun Tabung Haji untuk tujuan menunaikan haji. Jika sebulan kita simpan RM100, kira-kira 7 tahun selepas kita daftar haji, duit kita akan cukup RM9,980 dengan anggaran keuntungan purata TH 6 peratus.

3. Rayuan

Selalunya 3-4 bulan sebelum musim haji bermula, pihak Tabung Haji mula memproses surat-surat rayuan dan menghantar surat balas.

Jadi, kita perlu menghantar surat rayuan lebih awal. Sebaiknya selepas tamat musim haji, boleh siapkan surat rayuan untuk dihantar.

“Pengalaman peribadi, saya mula buat rayuan kira-kira 5 – 6 tahun lepas apabila wang di dalam akaun sudah cukup untuk membayar kos menunaikan haji kira-kira RM10,000. Dan setiap tahun juga apabila menerima surat balasan rayuan ditolak oleh Tabung Haji, kami akan hantarkan surat baru ke Tabung Haji untuk merayu menunaikan haji,” jelasnya.

Setiap tahun pasti ada kuota yang kosong atas pelbagai sebab seperti:

– bakal jemaah haji meninggal dunia
– bakal jemaah haji mengandung
– bakal jemaah haji mempunyai masalah kesihatan
– bakal jemaah haji menolak atau pelbagai sebab
– kuota ditambah

4. Pergi kursus haji

Apabila kita menghadiri kursus haji yang dianjurkan oleh Tabung Haji melalui masjid-masjid dalam kariah kita, nama kita akan dimasukkan dalam senarai kehadiran.

Jadi, ia memberi kredit kepada kita apabila pihak Tabung Haji membuat penilaian terhadap rayuan haji kita.

Walau bagaimanapun, perkara ini tidak disahkan dengan TH kerana ia berdasarkan pengalaman peribadi seorang jemaah sahaja.

5. Doa

Sebaik sahaja kita sudah cukup wang di dalam akaun Tabung Haji, berdoalah supaya ALLAH memanggil kita menemui-Nya.

Jadi, jangan berhenti berdoa. Allah pun sudah berjanji akan memakbulkan doa hamba-Nya, dengan pelbagai cara.

Sumber: Fb Afyan Mat Rawi