Gambar: Duniakorban

Sempena dengan Hari Raya Aidiladha pada minggu ini, pasti ramai yang dapat daging korban daripada saudara mara atau rakan-rakan dan dalam kuantiti yang banyak. Daging itu haruslah disimpan dengan cara penyimpanan yang betul untuk mengelakkan daging daripada busuk dan tidak segar.

Ini adalah 5 kaedah untuk menyimpan daging yang betul yang dikongsikan oleh Chef Mawi dari Art Of Butchery Inovasi Evolusi:

1. Jangan Cuci Daging Korban Sebelum Disimpan

Jangan cuci daging korban sebelum daging korban itu disimpan. Daging boleh dicuci apabila daging berkenaan hendak di masak pada keesokan harinya. Jika daging di cuci dengan air paip, kuman-kuman boleh masuk dan tinggal di dalam daging. Itu akan merosakan kualiti daging. Oleh itu, daging hendaklah dicuci sebelum ia dimasak.

2. Jangan Simpan Daging Dalam Kuantiti Yang Banyak Di Dalam Peti Sejuk

Jika anda dapat daging yang banyak, jangan simpan daging keseluruhan 2-4 kg di dalam peti sejuk. Cara yang betul ialah dengan memotong daging berukuran lebih kecil, kemudian simpan di dalam plastik-plastik berukuran 1/2kg atau 1kg.

Jika hendak masak, ambil satu plastik yang kecil sahaja, biarkan yang lain tetap beku di dalam peti sejuk. Daging yang berada di dalam keadaan beku dapat disimpan lebih 1 tahun.

3. Jangan Terus Simpan Daging Ke Dalam Ruang Sejuk Beku

Sebelum disimpan di ruang sejuk beku, simpan daging terlebih dahulu di dalam peti ais ruang biasa selama 4 hingga 5 jam. Setelah daging itu sejuk, barulah ia dimasukkan ke dalam ruangan sejuk beku.

4. Jangan Cairkan Daging Beku Menggunakan Air Panas

Jika hendak memasak daging yang masih beku, jangan cairkan ais dalam daging atau daging yang beku menggunakan air panas. Cara yang betul adalah dengan meletakkan daging beku tersebut di bawah air paip suhu normal (dalam keadaan daging masih terbungkus rapat dalam plastik). Setelah daging kembali lembut, buka plastik, cuci daging hingga bersih, toskan dan daging sedia untuk dimasak.

5. Tips Tambahan

Jangan memakai plastik warna hitam kerana plastik warna hitam itu adalah hasil kitaran semula. Plastik hasil kitaran semula mengandungi karsinogen yang dapat mengaktifkan sel kanser. Anda boleh menggunakan sarung plastik putih atau plastik lutsinar.

Sumber: Mingguan Wanita