Jangan ingat anda boleh abaikan penjagaan rambut hanya kerana anda sudah berhijab. Anda harus menjaga ‘mahkota’ wanita itu dengan baik agar rambut kekal sihat dan sentiasa cantik.

Terdapat beberapa tips para hijabista boleh ikuti untuk rambut kekal sihat sepanjang waktu:

1. Jangan ikat rambut semasa basah

Ramai hijabista melakukan kesalahan ini kerana tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengeringkan rambut. Ada baiknya anda cari masa untuk mencuci rambut dan biarkan rambut kering sebelum mengikat dan memakai tudung.

2. Pastikan rambut terdedah dengan cahaya matahari sekali seminggu

Sebenarnya, kepala dan rambut anda juga perlu bernafas dan terdedah dengan cahaya matahari bagi memastikan rambut anda dapat menyerap vitamin D. Biarkan rambut anda terdedah dengan cahaya matahari dalam masa 30 minit sekali seminggu.

3. Lepaskan rambut

Rambut sudah lama terikat jika kita keluar dan seeloknya lepaskan rambut anda selepas pulang ke rumah. Elakkan mengikat rambut anda jika boleh kerana rambut lebih banyak gugur jika diikat terlalu ketat.

4. Selalu cuci anak tudung

Anak tudung berfungsi menutup rambut anda secara keseluruhan dan pastinya ia turut menyerap peluh setelah seharian memakainya dan membuatkan rambut anda kotor dan berbau. Jadi, cuci anak tudung dengan kerap dan beli anak tudung sekurang-kurangnya lima helai agar kebersihan rambut anda terjaga.

5. Potong rambut sekali-sekala

Walaupun anda berhijab, ia tidak bermakna rambut anda tidak perlu dipotong. Hanya trim di hujung rambut setiap sebulan untuk membuang hujung rambut bercabang.

Sumber: Hijabista