Ekoran kisah seorang pengasuh menyembunyikan mayat bayi jagaannya di dalam peti ais semalam, kini ramai ibu bapa semakin takut untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan atau pengasuh kerana bimbangkan keselamatan anak mereka.

Gambar sekadar hiasan

Disebabkan itu, seorang pengguna laman Facebook, Fb Nurul Hilaliah Yussof memberi beberapa tips yang anda boleh ikuti jika mahu menghantar anak kepada pengasuh.

1. Tengok keadaan rumah

Pastikan anda lihat keadaan rumah pengasuh sama ada ia bersih atau tidak dan juga susunan perabot. Kebersihan amat penting jika mahu mengasuh kanak-kanak kerana tangan mereka akan cepat mencapai apa-apa yang ada di atas lantai dan kemudian memasukannya ke dalam mulut.

2. Tengok kelakuan anak pengasuh

Jika pengasuh mempunyai anak yang masih bersekolah dan tinggal di rumah, perhatikan kelakuan dan cara percakapan mereka. Jika anak mereka mempunyai kelakuan baik, pengasuh juga mungkin akan ajar didikan yang baik kepada anak-anak kita.

3. Berapa ramai anak jagaan pengasuh

Perhatikan berapa bilangan anak jagaan pengasuh kerana dikatakan pihak kerajaan sudah menetapkan pengasuh boleh mengasuh hanya seorang sahaja bayi kurang 6 bulan dan boleh menjaga tiga orang sahaja. Jika lebih, pengasuh harus mempunyai pembantu seperti suami atau anak-anaknya yang lain.

4. Rutin harian pengasuh

Pastikan anda tanya rutin harian pengasuh anda untuk mengetahui apa yang mereka lakukan semasa menjaga anak anda.

5. Hantar seminggu lebih awal

Hantar anak seminggu lebih awal ke pengasuh supaya anda dapat memantau keadaan anak semasa dijaga oleh pengasuh. Jika tidak sesuai, anda masih ada masa lagi untuk mencari pengasuh lain.

Sumber: Fb Nurul Hilaliah Yussof