Taiwan merupakan satu destinasi yang semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia terkenal dengan tarikan sejarah, budaya, keindahan alam selain mempunyai pelbagai kemudahan untuk pelancong Muslim.

Walaupun populasi penduduk beragama Islam rendah di sana, mereka mempunyai banyak tarikan yang sesuai untuk pelancong Muslim melancong ke sana.

Jika anda tidak mempunyai panduan untuk ke sana, berikut merupakan beberapa panduan berguna yang anda boleh pertimbangkan sebelum bercuti di sana:

1. Aplikasi Halal Taiwan

Anda boleh download aplikasi ini sebelum pergi Taiwan dan boleh mempelajari selok-belok aplikasi sebelum menggunakannya ketika berada di sana.

Difahamkan, aplikasi ini membantu anda untuk mendapatkan maklumat mengenai restoran halal, masjid dan lokasi yang menarik untuk anda lawati.

2. Pengangkutan

Di Taiwan, mereka mempunyai pelbagai pengangkutan awam yang anda boleh gunakan seperti metro(MRT), teksi dan bas jika anda ingin bersiar-siar di sekitar bandar Taipei.

Namun, anda boleh menggunakan khidmat pakej pelancongan yang termasuk dengan pemandu pelancong jika mahu pergi ke destinasi luar daerah.

Selain itu, anda juga boleh menggunakan perkhidmatan e-hailing seperti Uber jika tidak mahu sesat atau lambat ke destinasi yang dituju.

3. Makanan

Untuk pengetahuan anda, kebanyakan restoran di Taiwan sebenarnya tidak halal untuk dimakan. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa jenis restoran yang anda boleh kunjungi seperti restoran yang menjual makanan Arab, restoran yang mempunyai Sijil Halal (diluluskan oleh Persatuan Cina Muslim Taiwan) serta restoran mesra muslim yang menyajikan makanan laut dan vegetarian.

Seeloknya anda tanya dahulu jika restoran tersebut Halal dan bahan yang digunakan untuk memasak sesuai untuk Muslim atau tidak.

4. Kemudahan

Apa yang mengejutkan, kemudahan untuk pelancong beragama Islam mudah dicari di bandar Taipei seperti menara Taipei 101 di mana terdapat kemudahan ruang solat di sana.

Malah, di pusat beli-belah utama lain juga menyediakan ruang solat untuk orang Muslim selain kemudahan surau yang ada di sesetengah stesen metro di Taipei.

5. Cuaca

Taiwan mempunyai empat musim, namun apa yang menariknya musim sejuk di sana tidak bersalji seperti negara lain yang mempunyai musim sama kecuali di kawasan pergunungan tinggi.

Anda disyorkan untuk melancong ke sana pada bulan Mac sehingga Mei iaitu pada musim bunga kerana suhu pada musim tersebut sekitar 25 darjah Celsius.

Namun, jika anda menggemari festival seperti festival belon, bunga api atau kulinari, anda boleh melancong ke sana pada bulan Jun hingga Ogos dan suhu pada musim itu pula mencecah 30 darjah Celsius.

Sumber: mStar