Antara perkara yang rakyat Malaysia suka semasa bulan Ramadhan adalah Bazaar Ramadhan yang menjual bermacam-macam jenis makanan. Untuk mereka yang masih buntu dan tidak tahu port mana paling popular untuk menjamu mata dan selera tekak, ini beberapa lokasi bazaar ramadhan popular yang boleh dikunjungi sekitar kawasan Lembah Klang ekslusif untuk Ramadhan 2019!

1. Seksyen 13, Stadium Shah Alam

Saban tahun menjadi tumpuan masyarakat setempatnya, bazaar ramadhan di Seksyen 13, Shah Alam ini memang sudah tidak asing lagi dengan aneka hidangan pilihan dari masakan rumah ala kampung hinggalah kepada kuih muih kegemaran ramai seperti roti jala, tau fu fa, rojak, cendol campur, ayam goreng padan dan banyak lagi!

2. SS 6/1, Kelana Jaya

Ramai yang memuji kualiti serta pilihan juadah yang ditawarkan di bazaar ramadhan ini. Antara menu yang menjadi bualan pengunjung adalah Tepung Pelita, Apam Balik, Roti John dan Nasi Ambang. Rata-ratanya mendapat pujian menjulang tau?

3. Seksyen 14/20, Kompleks Pasar Peniaga Sek. 14, Petaling Jaya

Kalau hendak dikira-kira, bazaar ramadhan di Seksyen 14, PJ ini tidaklah sebesar mana tetapi pilihan makanan yang dijual di sini tersangatlah beraneka membuatkan pengunjung tidak jemu-jemu untuk hadi rmendapatkan makanan berbuka mereka.

Berhampiran Jaya Shopping Centre, jangan ketinggalan untuk membungkus ikan bakar, popiah basah, sate, air kelapa laut dan tepung pelita istimewa yang sering mendapat sambutan!

4. Taman Melawati

Siapa yang tidak kenal dengan bazaar ramadhan yang terbentang luas di kawasan Taman Melawati ni. Antara juadah menarik yanng boleh didapatkan di sini adalah termasuk kambing golek, ayam golek, manisan puding raja, nasi ayam kunyit Nuar Station dan banyak lagi!

Bagi yang meminati hidangan ala barat, boleh cuba juadah sup cendawan, spaghetti carbonara dan spaghetti Alio Olio yang disediakan istimewa oleh restoran The Cabin Melawati pada harga tidak lebih RM10. Cepat serbu sebelum semuanya licin petang ni!

5. Jalan USJ 4/5, USJ 4, Subang Jaya

Untuk orang yang pertama kali mengunjungi bazaar ramadhan di sini, kamu pasti berpuas hati dengan seleksi pilihan makanan yang pelbagai.

Antara yang mendapatperhatian adalah Nasi Bariani Power House, Nasi Mandi, daging kambing bakar, sup tulang, aneka hidangan mee dari gerai JDT Noodles dan banyak lagi! Boleh pergi dan alami kemeriahan bazaar ramadhan di USJ 4, Subang ini.

Walau bagaimanapun, kita haruslah sentiasa beringat supaya tidak membeli mengikut nafsu kerana musim-musim Ramadhan ni lah kita kerap membuang makanan. Seeloknya, belilah secara sederhana untuk elakkan pembaziran yang tidak diingini.

Sumber: Wanista