Semua jemaah haji dari seluruh dunia akan berhimpun di Padang Arafah untuk melakukan ibadah wukuf pada hari esok(Sabtu).

Berikutan itu, kami kongsikan lima kelebihan hari Arafah atau hari wukuf yang anda perlu tahu:

1. Hari Raya buat umat Islam

Hari Arafah dianggap sebagai hari raya buat umat Islam menurut Riwayat Abu Daud (20660), Tirmizi (704) dan al-Nasa’ie (2954):

يَوْمُ عَرَفَةَ، وَيَوْمُ النَّحْرِ، وَأَيَّامُ التَّشْرِيقِ عِيدُنَا أَهْلَ الْإِسْلَامِ، وَهِيَ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ

“Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum”.

2. Hari penyaksian

Selain itu, hari Arafah juga dikenali sebagai hari penyaksian kerana Allah SWT mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam pada hari tersebut sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu dihadapannya seperti biji-bijian, kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab : Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi”, yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak : “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” – Riwayat Ahmad –

3. Kedahsyatan doa pada hari Arafah

Di samping itu, padang Arafah merupakan tempat doa paling mustajab kerana Nabi Muhammad SAW mengambil masa yang sangat lama untuk berdoa di sana. Ada juga pendapat lain mengaitkan antara wukuf dengan wahyu yang diterima Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail.

Daripada Abdullah bin ‘Amr, Nabi SAW bersabda:

خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ

“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah”. [Riwayat al-Tirmizi (3509)].

4. Hari keampunan

Difahamkan, hari Arafah dikatakan pintu keampunan Allah SWT terbuka luas.

Daripada Aisyah RA, Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ، مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ

“Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah”. [Riwayat Muslim (2402)]

5. Hari kesempurnaan agama

Dikatakan di Padang Arafah merupakan lokasi Rasulullah menyampaikan khutbah wada’ atau khutbah perpisahan. Ia digelar ‘perpisahan’ kerana Baginda wafat tidak lama setelah menyampaikan khutbah tersebut.

Ketika itu, surah al-Maa’idah ayat ke-3 turun sebagai pernyataan telah sempurna dan lengkapnya ajaran Islam yang disampaikan Allah SWT melalui Rasulullah SAW:

اليَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإِسْلاَمَ دِينًا

“Pada hari ini telah Ku-sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku dan telah Ku-ridhai Islam itu menjadi agama bagimu….” [Al-Maa’idah: Ayat 3]

Sumber: Sirap Limau