Kita selalu ‘rambang mata’ apabila berkunjung ke bazar Ramadan kerana semua makanan kelihatan enak dan menarik. Yela, pergi dengan perut kosong memang sukar untuk membuat pilihan mahu beli makanan apa dan akhirnya terbeli banyak makanan.

Selain itu, terdapat makanan di bazar Ramadan menjadi pilihan ramai seperti lima jenis juadah wajib dibeli di bawah ini:

1. Tepung Pelita

Juadah paling popular apabila tiba bulan Ramadan, tepung pelita menjadi kegemaran orang ramai kerana teksturnya yang lembut dan rasa lemak manis membuatkan ianya dirindui selepas Ramadan berakhir.

2. Murtabak

Tak lengkap rasanya berbuka tanpa menjamah sepotong murtabak. Ada pelbagai pilihan murtabak seperti daging, ayam dan kambing. Anda suka cicah dengan kari atau bawang cuka?

3. Roti John

Siapa tak terliur melihat roti john dimasak secara ‘live’ di bazar Ramadan dengan kombinasi daging dan telur yang ditekap dengan roti. Ditambah pula dengan sayuran serta sos cili, mayonis dan cheese. Telan air liur beb!

4. Popia Basah

Popia juga mempunyai pengikut setia yang tersendiri. Malah, ada yang sanggup beratur panjang untuk membeli juadah popular itu untuk keluarga tersayang.

Popia basah mempunyai rasa manis dan pedas serta digabungkan dengan sayur-sayuran segar seperti sengkuang yang dihiris nipis, taugeh dan udang kering memang tak sedar dah makan sehingga habis licin.

5. Air Tebu & Soya

Gerai air tebu dan soya sering menjadi tumpuan kerana ia dibuat segar dari gerai. Contohnya tebu dikisar depan pelanggan dan soya pula dimasak hari-hari serta masih panas ketika dibeli.

Kedua-dua minuman itu memang sesuai dijadikan minuman ketika berbuka kerana kesegaran dan keenakannya. Hanya perlu tambah ais dan boleh diminum terus selepas azan Maghrib berkumandang. Gulp!

Sumber: mStar