Kebanyakan hijabista hari ini begitu sibuk dengan kehidupan seharian terutama yang bekerjaya. Disebabkan itu, masa yang dimiliki mereka agak terbatas untuk melakukan perkara-perkara lain.

Walau bagaimanapun, hijabista boleh membuat lima ibadah ringkas di bawah ini walaupun sibuk dengan kerja:

1. Tambah ilmu agama dalam kereta

Kita sebenarnya banyak menghabiskan masa dalam kereta akibat kesesakan jalan raya. Daripada melayan perasaan marah, apa kata anda menambah ilmu dengan mendengar ceramah agama melalui Youtube, radio atau cd. Lebih bermanfaat gitu.

2. Lafaz tasbih sentiasa di bibir

Selain itu, hijabista juga boleh mengisi masa yang terluang dengan lafaz tasbih zikir, takbir, tahmid dan istighfar sambil memandu. Bukan saja dapat pahala, malah hati anda juga akan tenang selepas melakukannya.

3. Amal baca surah pendek

Sekurang-kurangnya, amalkan baca surah pendek 10 minit sehari sebelum anda mula bekerja atau semasa waktu makan tengah hari. Fahami juga terjemahan ayat agar bacaan anda lebih bermakna.

4. Banyakkan selawat

Hijabista boleh berselawat sambil bekerja atau memandu untuk menghilangkan bosan dan menenangkan hati. Malah, anda juga akan dapat pahala jika melakukannya.

5. Sebarkan pesanan baik melalui aplikasi mudah alih

Anda boleh menyebarkan pesanan yang baik-baik di aplikasi telefon pintar daripada menyebarkan perkara tidak berfaedah seperti gosip. Mana tahu setiap pesanan atau ayat Al-Quran yang dihantar memberi makna kepada penerima dan sudah tentu anda diberi ganjaran pahala jika memanjangkan ilmu agama.

Sumber: Hijabista