Sempena cuti sekolah yang semakin hampir ke penghujungnya ini, anda masih sempat jika mahu bawa anak-anak bercuti sambil bermain air di taman tema air yang terkemuka di negara kita.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Malaysia mempunyai banyak taman tema air di seluruh negara seperti di Perak, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan banyak lagi. Lihat empat jenis taman tema air yang menarik di bawah ini jika anda sedang merancang percutian bersama anak-anak anda:

1. Escape Waterplay, Pulau Pinang

mmail.com.my

Ramai yang memberi pendapat bahawa Escape Waterplay mempunyai banyak rides yang menarik untuk dicuba seperti Tube Racer @ Rainbow Slide, Banana Flip dan sebagainya.

Malah, taman tema ini turut menyediakan permainan untuk keluarga seperti Play House yang mempunyai lapan gelongsor air iaitu Tots Pool, AK Splash dan macam-macam lagi.

Waktu Operasi: Setiap Hari Kecuali Isnin (10.00am – 6.00pm) | Isnin Tutup.

Bayaran: Dewasa 13 – 60 Tahun RM138 | Kanak-kanak 4 – 12 Tahun, Warga Emas RM92 | Kanak-kanak 0 – 3 Tahun Percuma.

Alamat: 828, Teluk Bahang, 11050 Tanjung Bungah, Pulau Pinang.

2. Lost World of Tambun, Perak

Untuk pengetahuan anda, taman tema ini sememangnya sangat popular di Malaysia sebagai destinasi percutian keluarga. Anda boleh menenangkan fikiran di kolam air panas, berseronok di Jungle Wave Pool atau bergembira bersama anak-anak di Kids Explorabay.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat Kecuali Selasa (11.00am – 6.00pm) | Sabtu & Ahad (10.00am – 6.00pm) | Selasa Tutup.

Bayaran: Dewasa RM70| Kanak-kanak (bawah 12 tahun), Warga Emas RM62.

Alamat: No.1, Persiaran Lagun Sunway 1, Sunway City Ipoh, 31150 Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

3. A’Famosa Water World, Melaka

Selain terkenal dengan keenakan makanan dan minuman tempatan, Melaka juga mempunyai taman tema air yang menarik di A’Famosa Resort, Alor Gajah.

Terdapat tiga jenis taman tema utama di sini iaitu A’Famosa Safari Wonderland, A’Famosa Cowboy Town dan A Famosa Water World. Selain itu, anda juga boleh cuba bermain Family Raft Slide, Inner Tube Slide, Body Slide, Big Ice Cream, Wave Pool, High Speed Slide dan banyak lagi.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (11.00am – 7.00pm) | Sabtu & Ahad, Cuti Umum, Cuti Sekolah (9.00am – 7.00pm) | Selasa Tutup.

Bayaran: Dewasa RM33 | Kanak-kanak RM26.

Alamat: A’Famosa Resort, Jalan Kemus, Simpang Empat, 78000 Alor Gajah, Melaka.

4. LEGOLAND Malaysia Waterpark, Johor

Selain dapat berjalan-jalan melihat pelbagai replika diperbuat daripada LEGO, sebenarnya wujud taman tema air bertemakan LEGOLAND di sini.

Anda boleh cuba bermain Splash ‘N’ Swirl, Joker Soaker, DUPLO Splash Safari, LEGO Wave Pool, LEGO Slide Racers dan macam-macam lagi.

Waktu Operasi: Setiap Hari (10.00am – 6.00pm)

Bayaran:
One Day Combo Ticket RM235 (1 day LEGOLAND Theme Park + Water Park )
Theme Park Ticket RM188 (Theme Park sahaja)
Day Water Park Ticket RM122 (Water Park sahaja)

Alamat: 7, Jalan Legoland, Medini, 79250 Nusajaya, Johor.

Sumber: Oh Bulan