Gambar: Roadtrippers

Setiap orang mempunyai minat yang berbeza terutamanya apabila mengembara ke negara lain. Ada yang mengutamakan aktiviti membeli-belah setiap kali berkunjung ke luar negara dan ada juga yang mahu mengikuti aktiviti sukan seperti golf atau mendaki gunung.

Tidak hairanlah jika ramai pengembara memastikan lokasi percutian yang dipilih mempunyai sesuatu yang menarik minat mereka. Ada juga yang berminat untuk makan atau boleh dikaitan dengan pelancongan gastranomi iaitu memastikan lokasi kunjungan ada menyediakan makanan enak atau terkenal.

Mona Ahmad dan rakan-rakan semasa mengembara

Bagi Mona Ahmad, alam semujadi dan sejarah tetap menjadi pilihan hati beliau. Selain daripada pemandangan yang mendamaikan dan dapat melegakan minda, alam semula jadi juga lebih mendekatkan diri dengan ciptaan Allah dan membolehkan kita lebih berfikir tentang kebesaran ciptaan-Nya.

Kali ini Mona Ahmad ingin berkongsi lokasi-lokasi pergunungan di Afrika dan Eropah yang menakjubkan. Walaupun terkenal sebagai pusat ski tatkala tiba musim sejuk, kawasan pergunungan ini sangat indah terutamanya pada musim bunga dan panas.

Ini adalah 4 lokasi yang dikongsi oleh beliau:

1. Pergunungan Atlas Berkongsi Dengan Tiga Negara

Pergunungan Atlas umpama permata utuh yang terpelihara. Ia berkongsi dengan tiga negara disebabkan banjaran gunungnya merentasi sepanjang barat laut Afrika menjulur sekitar 2,500 km melalui Maghribi, Algeria dan Tunisia.

Ia juga juga terkenal dengan penempatan terpencil masyarakat Berber, Maghribi. Jika berpeluang berkunjung ke Marakech, Maghribi, anda boleh melihat keindahan pergunungan ini terutama di musim sejuk kerana kota ini terletak di kaki jajarannya.

2. Julian Alps Slovenia

Slovenia, negara terletak di timur Eropah ini terkenal kerana keindahan alam semula jadi terutamanya landskap geografi yang mengagumkan. Puncak paling tinggi adalah Gunung Triglav setinggi 2,864 meter yang juga menjadi gunung tertinggi di negara bekas Yugoslovia ini. Tasik Bled yang terkenal dalam kalangan pelancong terletak di kaki Julian Alps.

3. Sierra Nevada, Sepanyol

Pergunungan ini terletak di selatan Sepanyol atau wilayah Andalusia, Sierra Nevada. Ia bermaksud bermaksud jajaran pergunungan yang sentiasa diselimuti salji dalam bahasa Sepanyol.

Pusat ski ini masih dibuka kerana kawasan itu masih tebal saljinya walaupun sudah di akhir musim bunga. Malah, keindahan Sierra Nevada turut mewarnai kecantikan Alhambra, kompleks kota dan istana yang dibina pemerintah Islam di Sepanyol sekitar pertengahan kurun ke-13, yang terletak menghadap pergunungan itu.

4. Pergunungan Tatra, Slovakia

Pergunungan Tatra yang indah di musim bunga ini meliputi kawasan seluas 785 kilometer persegi dengan 77 peratus kawasan berada di Slovakia dan selebihnya Poland. Puncak tertinggi dikenali sebagai Gerlach yang terletak di utara pekan comel dikenali sebagai Poprad.

Tidak sah menggembara di bumi Slovakia jika tidak singgah bergambar di latar belakang Pergunungan Tatra. Ada beberapa ‘spot’ yang boleh dijadikan persinggahan untuk bergambar.

Sumber: mStar