Sebanyak 30 tan abu al-Quran yang dibakar melalui teknologi insinerator oleh Kumpulan Media Karangkraf melalui Unit Pelupusan Ultimate Print akan dilupuskan di laut dalam berhampiran Pulau Sentosa, Shah Alam, pada hari esok.

Eksekutif Unit Pelupusan Ultimate Print, Mohamad Azmi Abdul Rahman, menjelaskan bahawa pembakaran al-Quran yang dibuat mulai April tahun lalu mencatatkan jumlah paling besar pernah dilakukan setakat ini.

Menurutnya, kali pertama pembakaran melalui mesin tersebut dilakukan dua tahun lalu dengan sejumlah lima tan debu al-Quran yang dilupuskan.

“Penggunaan teknologi ini jauh lebih cepat berbeza dengan kaedah manual iaitu mengubah suai tong dram sebagai alat untuk membakar,” ujarnya

“Jika dahulu (sebelum guna insinerator) kita hanya boleh bakar al-Quran hanya 20 kilogram sehari tetapi dengan mesin ini ia boleh dilakukan sehingga 300 kilogram sehari,” katanya.

Tambahnya, pembakaran al-Quran yang dibuang adalah berdasarkan faktor salah cetak, tidak ikut piawaian dan rosak dilakukan mengikut prosedur dan patuh syariah.

“Sebenarnya proses membakar al-Quran ini dilakukan setiap hari tetapi kita akan mengambil masa untuk melupuskan abu al-Quran di laut atas pelbagai kekangan,” sambungnya.

Difahamkan, Kumpulan Media Karangkraf akan bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) untuk menjayakan proses pelupusan abu al-Quran di laut dalam esok.

“Kejayaan kita membakar al-Quran yang terbuang dalam jumlah yang banyak ini diharap akan diteruskan lagi pada masa-masa akan datang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian