Dengan menggunakan pengalaman yang ada, tiga sekawan ini tekad untuk berkayuh sejauh 10,000 kilometer (km) menerusi Road to Hajj 2019 bermula pada 6 Januari tahun depan.

Tiga sekawan tersebut adalah bekas jurufoto sambilan Bernama Kelantan, Wan Hashim Wan Mahmood, 73 tahun, pemberita sambilan Bernama Kedah, Che Saad Noordin, 68 tahun, dan bekas wartawan sambilan NSTP Kedah, Mohamad Zainal Abidin, 63 tahun.

Wan Hashim atau dikenali dengan Pak Wan akan menggunakan pengalamannya mengayuh basikal mengelilingi Semenanjung Malaysia untuk dijadikan panduan dalam misi penting itu.

“Sebagai persediaan berkayuh di negara yang pelbagai musim, kami membuat latihan kayuhan setiap hari bermula waktu Subuh termasuk ketika cuaca panas dan hujan,” ujarnya.

Menurut Che Saad, kos diperlukan untuk merealisasikan hasrat mereka bertiga berbasikal ke Mekah itu adalah RM150,000 termasuk mengutip dana bagi membantu enam individu kurang berkemampuan yang dikenal pasti untuk menunaikan haji tahun depan.

“Semua itu bakal terlaksana sekiranya TH dapat membantu menunaikan hasrat kami… selepas itu barulah kami akan berhubung dengan Kedutaan Malaysia di Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Iran dan UAE,” jelasnya.

Malah, tiga sekawan itu juga telah membuat perjanjian akan tetap meneruskan misi tersebut walaupun seorang diri jika ada di antara mereka menghadapi kemungkinan semasa misi dijalankan termasuk sakit atau dijemput Ilahi.

Mereka berharap rakyat Malaysia dapat mendoakan misi mereka tercapai dan semua urusan berjalan lancar sepanjang perjalanan.

Sumber: Harian Metro