Ramai yang tahu, Malaysia mempunyai banyak jenis kuih-muih. Salah satu dari jenis kuih yang ada adalah kuih berlauk. Kuih berlauk biasanya dihidang sebagai hidangan minum petang.

Ada pelbagai jenis resipi dan cara yang berbeza untuk membuat kuih berlauk ini. Di bawah ini adalah 3 resipi mudah kuih berlauk:

1. Pulut Udang

Resipi ini khas untuk mereka yang suka makan pulut! Kuih ini mengandungi pulut yang berinti udang, kemudian dipanggang untuk mendapatkan “smokey flavour. Apa yang membuatkan hidangan kuih ini sedap ialah rasa pulutnya sangat berlemak dan berinti udang yang ditumis dengan sambal dan kelapa parut yang rasa masin dan sedikit manis.

Bahan-bahan diperlukan:
1. 1 cawan beras pulut (Direndam 3-4 jam dan tuskan)
2. 1 cawan santan pekat
3. Sedikit garam (Santan pekat dibancuh dengan sedikit garam)
4. 3 biji cili merah
5. 2 batang serai
6. 1 labu bawang besar
7. 1 sudu teh jintan manis (Cili merah, serai, bawang besar & jintan manis dikisar bersama)
8. 100 gram udang segar (Dibuang kulit dan potong kecil)
9. 1 cawan kelapa parut (Ambil putih sahaja)
10. 1 sudu teh serbuk kunyit
11. 2 sudu makan minyak masak
12. 1 sudu teh gula pasir
13. Garam secukup rasa
14. Daun pisang secukupnya (Dilayur)
15. Lidi secukupnya

Cara menyediakan dan memasak:
1. Masukkan beras pulut ke dalam periuk kukusan dan kukuskan sehingga masak (naik wap). Masukkan ke dalam mangkuk tahan panas.
2. Gaulkan santan pekat dengan pulut sehingga sebati.
3. Daun pisang dipotong kecil. Lap dan ketepikan.
4. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan bahan kisar sehingga wangi.
5. Masukkan udang, kelapa parut, serbuk kunyit, gula dan garam. Kacau sehingga kering.
6. Ambil dua sudu makan pulut dan letakkan di atas daun pisang dan tekan pulut supaya leper.
7. Letakkan inti udang di bahagian tengah dan gulungkan daun pisang. Siap!

2. Kuih Bakar Berlauk

Gambar: Sritalamaz

Untuk yang gemarkan kuih cara berlauk, pasti suka kuih bakar berlauk juga. Resipi ini lebih ringkas berbanding dengan resipi tradisional. Menggunakan bahan seperti daging kisar, ubi kentang, tepung gandum, susu cair, cili merah dan serbuk kari daging dan kemudiannya dibakar. Jangan lupa untuk taburkan daun sup untuk menyempurnakan hidangan ini!

Bahan-bahan diperlukan:

Bahan A
1. 1200 g daging kisar (Dihancurkan)
2. 1 labu bawang besar
3. 200 g ubi kentang ( Dipotong dadu)
4. ½ batang lobak merah (Dipotong dadu)
5. 2 sudu makan serbuk kari daging
6. 1 pokok daun sup (Diracik)
7. 3 biji cili merah (Dihiris)
8. 1 cawan air
9. 2 sudu makan minyak masak
10. Garam secukup rasa

Bahan B
1. 2 cawan tepung gandum
2. 1 cawan susu cair
3. 3 cawan air
4. 3 biji telur gred A
5. ½ sudu teh pewarna kuning
6. 2 sudu makan minyak masak
7. Secubit garam

Cara menyediakan dan memasak:
1. Panaskan minyak masak dan tumiskan bawang besar sehingga wangi.
2. Masukkan daging kisar dan kacau rata.
3. Masukkan rempah kari dan sedikit air. Kacau rata sehingga pecah minyak.
4. Masukkan kentang, lobak merah dan garam. Masakkan sehingga empuk dan pekat.
5. Bancuhkan semua bahan B kecuali minyak masak. Tapiskan.
6. Panaskan sedikit minyak di dalam loyang dan tuangkan adunan kira-kira lebih separuh acuan.
7. Masukkan inti daging. Taburkan daun sup dan cili merah.
8. Panaskan oven pada suhu 180ºC api atas dan bawah.
9. Masukkan acuan ke dalam oven dan bakar selama 20 minit. Sejukkan dan potong kecil. Siap dan hidangkan.

3. Kuih Bingka Kentang

Gambar: Cookpad

Pelbagai jenis kuih bingka anda boleh nikmati, manis dan juga berlauk. Kuih bingkakentang ini diperbuat daripada santan, tepung, telur, ubi kentang, gula dan bijan. Teksturnya yang lembut dan rasa yang berlemak, masin dan manis ini pasti anda akan suka. Kuih ini juga enak dinikmati bersama tomato yang sudah dicincang.

Bahan-bahan diperlukan:
1. 5 biji ubi kentang (Saiz sederhana)
2. 2 cawan santan
3. 2 cawan air
4. 1 cawan tepung gandum
5. 1 cawan gula
6. 3 sudu makan mentega
7. 3 biji telur
8. ½ sudu teh pewarna kuning
9. ½ sudu teh esen vanila
10. 2 sudu makan bijan (Digoreng tanpa minyak)
11. Sedikit garam
12. Sedikit minyak masak

Cara menyediakan dan memasak:
1. Rebus kentang dengan air dan sedikit garam sehingga empuk. Tuskan airnya.
2. Masukkan kentang dan santan ke dalam mesin pengisar. Adunkan sehingga sebati.
3. Masukkan semua bahan lain kecuali bijan dan minyak masak ke dalam mangkuk dan tuangkan bahan yang dikisar. Adun sehingga sebati.
4. Panaskan oven pada suhu 170ºC. Sapukan minyak di sekeliling loyang bersaiz 7 x 7 inci.
5.Tuangkan adunan tadi dan taburkan bijan di atasnya.
6. Bakar selama 60 minit ataupun sehingga masak.
7. Biarkan kuih betul-betul sejuk dan potong. Sedia dihidangkan.

Selamat mencuba!

Sumber: SAYS