Seramai 20 orang jemaah Malaysia ditaja oleh Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud, untuk menunaikan haji di bawah program Tetamu Raja Arab Saudi 2019 (Istidhofah).

Program itu diuruskan oleh Kementerian Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, ditaja sepenuhnya melalui peruntukan peribadi Raja Salman termasuklah kos penginapan, tiket kapal terbang, makan minum serta kos di Masya’ir Haram.

Duta Besar Arab Saudi, Mahmoud Hussien Saeed Qattan, menjelaskan bahawa kerajaan Arab Saudi berjaya menghimpunkan sejumlah besar umat Islam dari seluruh dunia melalui program Istidhofah tersebut.

Menurutnya, kerajaan Arab Saudi mempunyai pengalaman yang luas menguruskan program tersebut kerana telah menganjurkannya lebih 20 tahun.

“Saban tahun kami memdapat maklum balas positif daripada jemaah seluruh dunia bagi membantu para peserta tetamu Raja Arab Saudi menunaikan haji. Kami akan sentiasa berusaha mempertingkatkan kemudahan program ini dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Selain itu, antara tujuan utama program tersebut ialah untuk menghimpunkan jemaah dari seluruh dunia dan saling bertukar pandangan tentang Islam serta mengeratkan silaturahim sesama umat Islam.

Untuk pengetahuan anda, mereka yang terpilih adalah terdiri daripada kalangan agamawan, wakil kerajaan, ahli akademik, pendakwah dan pertubuhan bukan kerajaan(NGO).

Antara yang terpilih di dalam program tersebut ialah Mufti Melaka Datuk Abdul Halim Tawil, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud, Ketua Penolong Mufti Wilayah Perseketuan Ridzuan Awang dan Wartawan Meja Multimedia Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman.

Difahamkan, kumpulan jemaah itu akan berlepas ke Jeddah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) pada keesokan hari dan akan berada di Arab Saudi sehingga 17 Ogos 2019.

Selain itu, Raja Salman turut menaja 1,300 jemaah dari 72 negara di bawah program tersebut dan turut menjemput 200 keluarga mangsa serangan keganasan di Christchurch, New Zealand menjadi tetamunya untuk menunaikan haji.

Malah, Raja Arab Saudi itu turut menaja 2,000 anggota keluarga tentera Yaman untuk menunaikan haji tahun ini.

Sumber: Astro Awani & Bernama