Seramai 15 orang pegawai Belia dan Sukan di negeri Johor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membantu siasatan berhubung tuntutan palsu, semalam.

Gambar sekadar hiasan

Menurut sumber, hasil tangkapan yang telah dibuat pada 1 Oktober lepas, hasil siasatan mendapati semua suspek telah bersubahat dengan kontraktor-kontraktor dengan membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Liga Sukan.

Difahamkan, ia melibatkan penganjuran liga sukan di lapan daerah di Johor iaitu di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang dan Kota Tinggi bagi tahun 2015 yang didapati tidak dilaksanakan.

Malah, jumlah keseluruhan tuntutan palsu yang telah dituntut adalah melebihi RM90,000 manakala kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada lelaki dan wanita berusia lingkungan umur 30an hingga 50an serta bertugas sebagai pegawai Belia dan Sukan di Pejabat Belia dan Sukan Daerah di Negeri Johor.

Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, mengesahkan tangkapan berkenaan dan memaklumkan kesemua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini untuk permohonan reman untuk membantu siasatan.

Sebelum ini, SPRM telah menahan 17 kontraktor bagi membantu siasatan berkaitan tuntutan palsu lebih RM90,000 berkaitan dengan penganjuran program liga sukan yang didapati tidak dilaksanakan itu.

Sumber: Astro Awani