Isu sebegini sudah banyak kali berlaku di beberapa negeri sebelum ini hinggakan mengelirukan pelanggan-pelanggan beragama Islam yang mahu menjamu selera di restoran nasi kandar.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan(JHEAINS), menyatakan sebanyak 149 daripada 150 restoran nasi kandar di Negeri Sembilan sebenarnya tidak memiliki sijil halal.

Pengarah JHEAINS, Mohd Zaidi Ramli, menjelaskan bahawa terdapat satu restoran nasi kandar sahaja yang dianugerahkan pensijilan halal di Seremban.

“Satu lagi premis sudah memohon pensijilan halal dan masih menunggu kelulusan,” katanya.

Selain itu, dia menasihati agar pemilik premis makanan termasuk hidangan masakan Melayu untuk mengemukakan permohonan pensijilan halal supaya tidak menimbulkan keraguan kepada pelanggan beragama Islam.

Gambar sekadar hiasan / bangsarbabe.com

Difahamkan, pihak JHEAINS menerima lima aduan mengenai keraguan mengenai sijil halal yang dipaparkan di premis tertentu di negeri tersebut sejak tiga bulan lalu.

“Dengan kerjasama agensi kerajaan yang lain, kami akan memastikan kedai makanan di negeri ini mendapat sijil halal,” jelasnya.

Sumber: Harian Metro