Sebanyak 145 buah sekolah di negeri Selangor terutama di daerah Sepang, Hulu Langat, Kuala Langat, Klang dan Petaling Perdana ditutup hari ini berikutan keadaan jerebu yang semakin serius.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, pihaknya memaklumkan penutupan sekolah itu melibatkan 23 buah sekolah di Sepang, 36 (Hulu Langat), 21 (Kuala Langat), 27 (Klang) dan 38 buah sekolah di Petaling Perdana.

“Seramai 187,928 orang pelajar terlibat dalam penutupan sekolah esok(hari ini) dan sebarang perubahan atau maklumat terbaru akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya semalam.

“Pihak sekolah telah diingatkan untuk mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan dan mengutamakan kesihatan murid dan guru sepanjang masa,” jelasnya.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar sehingga pukul 11 malam tadi, bacaan IPU di Johan Setia adalah 222, Klang (175) dan Banting (167) dan Shah Alam (185).

Untuk pengetahuan anda, bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Sumber: Astro Awani & Bernama