Banjir dan banjir kilat dijangka berlaku lebih kerap di 142 kawasan di Selangor berikutan fenomena Monsun Timur Laut bermula bulan ini sehingga penghujung Mac depan.

Ketua Unit Pengurusan Bencana Selangor, Ahmad Fairuz Mohd Yusof, memberitahu keadaan itu berlaku disebabkan penerimaan jumlah hujan antara 210 milimeter(mm) sehingga 310mm sepanjang tempoh berkenaan.

Gambar sekadar hiasan

“Sebanyak 142 kawasan di beberapa daerah di seluruh Selangor dikenal pasti berisiko berlaku banjir dan banjir kilat sepanjang tempoh itu,” ujarnya.

“Berikutan itu, kita telah maklumkan kepada semua daerah agar tindakan penyelenggaraan diambil dengan lebih sistematik termasuk melibatkan Jabatan Perparitan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan,” sambungnya.

Gambar sekadar hiasan

Tambahnya, antara kawasan terbabit ialah Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, Pekan Ijok, Kuala Selangor, Kampung Sungai Tua, Gombak dan bekas tapak Plaza Tol Sungai Rasau, Klang.

Selain itu, dari aspek logistik pula sebanyak 453 aset bersedia digerakkan antaranya melibatkan kenderaan pelbagai guna (MPV), lori, bot dan pelbagai jentera lain daripada Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Kesihatan serta Angkatan Tentera Malaysia.

Malah, sebanyak 536 pusat pemindahan banjir akan dibuka di negeri ini sekiranya berlaku bencana banjir di lokasi terbabit.

“Setakat ini kita bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan dalam menghadapi fenomena tersebut,” ujarnya sebelum mengakhiri perbualan.

Sumber: Astro Awani