Terbaru, kira-kira 14.8 peratus daripada penduduk Pahang yang berusia 18 tahun ke atas adalah penghidap diabetes.

Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed, memberitahu bahawa apa yang membimbangkan ialah lebih separuh daripada mereka tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit itu.

Gambar sekadar hiasan

“Kebanyakan mereka hanya mengetahui status diabetes apabila mendapatkan pemeriksaan kesihatan yang dibuat saringan di luar atau menerusi program Komuniti Sihat Pembina Negara (Kospen),” ujarnya.

“Itu pun tindakan untuk menjalani saringan dilakukan selepas merasakan ada tanda gejala diabetis,” katanya lagi.

Malah, dia turut memuji peranan Kospen yang dilihat aktif membantu masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan penjagaan kesihatan kepada komuniti.

Gambar sekadar hiasan

Tambahnya, sehingga kini terdapat 277 lokaliti Kospen di seluruh Pahang melibatkan penduduk di kawasan taman perumahan dan kampung tradisional di negeri tersebut.

Difahamkan, anggota Kospen terdiri daripada komuniti setempat yang diberikan latihan mengendalikan pemeriksaan saringan kesihatan komuniti mereka bagi penyakit diabetes, darah tinggi, obesiti dan menangani stres.

“Kampung atau kawasan perumahan yang terlibat dengan Kospen juga mempunyai kawasan berjalan kaki 10,000 langkah yang ditempatkan dengan papan tanda kerana ia sukan yang mudah dilakukan,” jelasnya.

Sumber: Astro Awani