Setelah kes sungai Kim Kim tercemar dirawat, semua 111 sekolah di Pasir Gudang yang ditutup 7 Mac lalu akan dibuka kembali pada hari Ahad ini dan sesi persekolahan sepanjang tempoh ditutup tidak perlu diganti.

astroawani.com

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Agama Johor, Aminolhuda Hassan, memberitahu bahawa pihaknya menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri(JPN) untuk membuat ketetapan dalam kalangan guru.

“Apabila tidak perlu ganti, kita mengharapkan guru dapat menghabiskan silibus walaupun mungkin terpaksa kejar sedikit sebab ketinggalan sepanjang sekolah tidak beroperasi,” ujarnya.

“Ia bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran (P&P) itu dapat dibuat dan silibus dihabiskan untuk menghadapi peperiksaan,” jelasnya.

Selain itu, mengikut laporan jawatankuasa bencana, semua sekolah berada dalam keadaan selamat untuk dihadiri pelajar.

Difahamkan, pihaknya mengambil ketetapan itu berdasarkan keputusan dikeluarkan jawatankuasa bertindak atau jawatankuasa pengurusan bencana Sungai Kim Kim.

Malah, semua bahagian sama ada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Khas Pengurusan Bahan Bahaya (HAZMAT) dan pihak kesihatan turut menyatakan keadaan sudah kembali selamat.

Tambahnya, berdasarkan pandangan pakar iaitu Pengerusi Jawatankuasa Saintifik yang juga Dekan Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Abdull Rahim Mohd Yusoff, esok diwajibkan kepada semua sekolah supaya membuka kipas dan tingkap di semua bahagian blok yang terjejas supaya berlaku pertukaran udara.

“Jangan mula buka kipas dan tingkap waktu hari persekolahan dibuka, sebab itu esok kita minta semua sekolah mengadakan gotong-royong pembersihan,” katanya.

Berikutan itu, taklimat khusus berkaitan keselamatan daripada pakar akan dibuat hari Isnin depan pukul dua petang di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Johor Bahru supaya ibu bapa termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah dapat mendengar taklimat yang disampaikan.

Sumber: Harian Metro