Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangkakan 1,000 tan metrik durian jenis premium iaitu Musang King(D197) dan Black Thorn(D200) akan dieksport ke China setiap bulan.

Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, menjelaskan bahawa pihaknya sudah menghantar empat tan durian sejuk beku dalam bentuk biji.

Menurutnya, pihak kementerian yakin jumlah pengeluaran berkenaan mencukupi bagi memenuhi pasaran tempatan, pasaran luar negara sedia ada dan yang terbaharu untuk pasaran China.

“Kementerian kini menjadikan durian sebagai salah satu industri di bawah Sumber Kekayaan Baharu. Dianggarkan nilaian kepada eksport negara dijangka kira-kira RM0.5 billion untuk setahun,” ujarnya.

“Buat masa ini kebenaran untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji(whole fruit) diberikan kepada lima syarikat iaitu Exofruits Industry Sdn Bhd, JL Food Industries Sdn Bhd, PHG Ever Fresh Food (M) Sdn Bhd, Top Fruits Sdn Bhd dan KAMI Food Services Sdn Bhd,” jelasnya.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada syarikat yang berminat untuk mendaftar dengan Jabatan Pertanian supaya mereka mendapat peluang untuk eksport durian,” tambahnya.

Selain itu, penghantaran sulung durian sejuk beku dalam bentuk biji itu dianggap sebagai detik bersejarah dalam industri pertanian negara kerana sebelum ini mereka hanya menghantar durian berkenaan secara pes mahu pun ulas.

Dalam pada itu, Salahuddin turut menggalakkan pengusaha untuk mengadakan aktiviti agropelancongan berasaskan durian atau ‘Duriotourism’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Sementara itu, Duta China ke Malaysia, Bai Tian, menjelaskan bahawa dia adalah salah seorang daripada peminat durian Malaysia dan menganggap durian dari negara ini adalah yang paling terbaik di dunia.

“Di China kini sudah ada lebih 1.4 bilion penduduk dan dianggarkan 300 hingga 400 juta penduduk kini sedang menantikan kedatangan durian ini,” katanya.

“Diharapkan perdagangan ini berjaya dan akan memberi faedah kepada lebih banyak pengusaha durian,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro